Jumaat, 29 Julai 2016

Strategi Moey menjadi

ARKIB : 26/03/1998
TINDAKAN berani jurulatih, Moey Yoke Ham melakukan perubahan taktikal pada 25 minit terakhir perlawanan separuh akhir pertama kelayakan Perdana Satu, membolehkan Pulau Pinang menewaskan Kelantan 4-2 di Stadium Bandaraya, kelmarin, YUSWAN YUNUS melaporkan.

Moey menyedari pasukannya berada dalam keadaan bahaya apabila ketinggalan 1-2 kepada skuad Kijang apabila Hashim Mustapha menyumbat gol kedua pasukannya pada minit ke-61.

Dalam suasana yang tertekan akibat cacian daripada penyokong sendiri, Moey melakukan beberapa perubahan yang membabitkan beberapa pemain di barisan hadapan skuad Harimau Kumbang.

Beliau memasukkan Domi Che Non menggantikan bek kiri, Fauzi Soh sebagai usaha memantapkan serangan di samping mengarahkan pemain import Brazil, Fabio Da Silva meninggalkan posisi tengah bagi berganding dengan Merzagua Abderrazak.

''Selain itu stopper, Abdul Rahim Hassan dimasukkan bagi membolehkan pemain serba boleh, Moey Kok Hong membantu barisan serangan,'' katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Ternyata perubahan itu mendatangkan hasil apabila Pulau Pinang berjaya menyumbat tiga gol pada 20 minit terakhir melalui, Chee Wan Hoe (70), Da Silva (84) dan Kok Hong (88), yang juga gol keduanya pada perlawanan itu.

Bagaimanapun Moey mengakui perlawanan kelmarin sebagai agak kasar dan agresif mengakibatkan pengadil Amir Sharifuddin Wong dari Perak, mengeluarkan lapan kad kuning, empat kepada setiap pasukan.

Domi, Kok Hong, Ng Kok Heng dan Yong Woon Seang bagi pihak Pulau Pinang, manakala Alif Rohaimin Azizhan, Ghapor Mohamed, Wong Kah Loon dan Luis Pablo Pozzuto bagi pasukan Kelantan.

Ekoran daripada itu, Moey kehilangan tiga tonggaknya, Kok Hong, Kok Heng dan Woon Seang bagi perlawanan kedua di Kota Bharu, Sabtu ini.

''Saya ingatkan mereka, sekiranya bermain cantik tetapi kalah, tiada faedah. Tetapi sekiranya bermain buruk dan menang, itu menunjukkan kebijaksanaan pasukan,'' kata Moey selepas latihan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4FnJ8EOMJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 28 Julai 2016

P. Pinang disuntik semangat baru

ARKIB : 19/03/1998
PULAU Pinang yang sudah layak ke separuh akhir pusingan kelayakan Perdana Satu kini menanam semangat dan tekad baru untuk merampas salah satu tempat Perdana Satu musim ini, lapor FAIZUL ABD. SHUKOR.

Kemenangan 1-0 ke atas Melaka di Stadium Kubu, malam kelmarin merupakan amaran awal kebangkitan skuad Harimau Kumbang yang sebelum ini mempamerkan permainan yang tidak konsisten sehingga meresahkan para peminat bola sepak di negeri ini.

Pulau Pinang sebelum ini menewaskan skuad Olimpik 2000 0-1 dan Melaka juga dengan jaringan 0-1 sebelum tewas mengejut kepada pasukan Olimpik 1-0 Sabtu lalu.

Siapa bakal menjadi lawan Pulau Pinang pada peringkat separuh akhir nanti bukan soal pokok tetapi apa yang lebih penting skuad itu seolah-olah sudah disuntik dengan satu semangat baru.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata, skuad Harimau Kumbang kini lebih bersemangat malah sudah bersedia untuk menghadapi mana-mana pasukan yang bakal ditemui nanti.

Katanya, dengan semangat 'separuh akhir' Pulau Pinang ternyata lebih yakin untuk bermain dan memastikan pasukan itu berada di Perdana Satu.

Dr. Ibrahim memberitahu, pasukan mana akan menjadi lawan Pulau Pinang nanti sudah menjadi soal kedua kerana kejayaan ke separuh akhir lebih penting.

''Kini kita sudah layak, oleh itu dengan mana-mana pasukan kita berhadapan pada separuh akhir nanti bukan menjadi persoalan.

''Jika terlalu mengharap untuk bertemu pasukan lemah pada separuh akhir, bagaimana pula untuk menghadapi pasukan lain yang lebih mantap di Perdana Satu,'' katanya kepada Sukan Utusan sebaik saja mengetahui pasukan Pulau Mutiara telah layak ke separuh akhir.

Bagimanapun dalam perkembangan lain, Dr. Ibrahim tetap berharap penyerang Pulau Pinang, Domi Che Non, mampu beraksi pada perlawanan separuh akhir nanti.

Beliau juga berkata, kehadiran Domi sudah tentu akan menambah sengat Pulau Pinang dalam mengatur strategi baru di barisan serangan.

Jelasnya, Pulau Pinang mampu bertindak lebih garang pada pertemuan Selasa ini jika semua pemain seperti G. Shanmugam, Mohd. Fuad Mohd. Noor dan Yong Woon Seang dapat beraksi.

Untuk memastikan tahap kecergasan kesemua pemain Skuad Harimau Kumbang berada di tahap terbaik, Dr. Ibrahim berkata, FAP akan memastikan kesemua pemain diberi latihan mencukupi.

''Saya berharap strategi dan latihan di bawah jurulatih Moey Yok Ham akan berhasil,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FiB2JD22 © Utusan Melayu (M) Bhd

Peminat kecewa Merzagua hilang bisa

ARKIB : 12/03/1998
KERESAHAN para penyokong ketika menyaksikan Pulau Pinang menentang Melaka di Stadium Bandaraya Sabtu lepas jelas terbayang apabila Merzagua Abderrazak tidak mampu beraksi seperti yang diharapkan, lapor FAIZUL ABD. SHUKOR.

Walaupun Pulau Pinang berjaya mengutip tiga mata, para penyokong tetap kecewa apabila sekadar menyaksikan Merzagua mampu bertindak dengan berkemahiran tinggi sewaktu menggelecek, tetapi tidak banyak membantu untuk muncul sebagai penjaring digeruni.

Kerana kegagalan itu sehingga kini para penyokong Harimau Kumbang masih 'mengidam' sesuatu yang memberangsangkan dari pemain import itu, tetapi sampai bilakah.

Apa jua yang menjadi keresahan peminat negeri itu sebenarnya turut dirasai oleh jurulatihnya, Moey Yok Ham yang juga tidak berpuashati dengan persembahan anak buahnya itu.

Moey ketika ditanya masalah itu, turut mengakui bahawa anak buahnya itu masih tidak mampu bertindak cemerlang seperti mana ia mula-mula menyertai Pulau Pinang seketika dulu.

Namun begitu katanya, skuad Pulau Mutiara masih memerlukan kemahiran individu pemain itu untuk membantu barisan tengah menghidupkan peluang jaringan.

Kalau dahulu harapan Pulau Pinang sering disandarkan kepada Merzagua tetapi kedua-dua perlawanan sebelum ini nampaknya tertumpu kepada dua pemain import lain, Modou Conde dan Fabio Da Silva.

Setelah menyaksikan kedua-dua perlawanan Pulau Pinang yang kini menduduki tangga teratas Kumpulan A, negeri itu hanya mampu ceria melalui pemain tempatan Mohd. Fuad Mat Noor dan Moey Kok Hong.

Jika dilihat pada keputusan perlawanan Melaka dengan skuad Olimpik 2000 semalam bermakna Pulau Pinang perlu mengubah barisan penyerang yang dibarisi oleh Merzagua bagi memastikan Pulau Pinang tidak akan menanggung keperitan dalam persaingan Liga Perdana.

Begitu juga sekiranya, Pulau Pinang terus mengharapkan gandingan benteng pertahanan yang diterajui oleh Zaidi Mat Ail, Fauzi Soh dan Chee Wan ia dikhuatiri akan dimalukan oleh Pasukan Olimpik 2000 Sabtu ini.

Walau bagaimanapun Moey memberitahu, Merzagua masih belum serasi dengan pemain baru yang lain.

Sebagai jurulatih, Moey berkata, beliau akan berusaha memastikan prestasi pemain itu tetap ditahap yang tinggi seperti yang diharapkan oleh peminat.

Beberapa peminat tempatan yang ditemui Sukan Utusan meramal jika situasi itu terus berlaku mungkin Pulau Pinang akan menerima padah di tempat sendiri Sabtu ini.

Dalam perkembangan lain, Moey turut meminta para peminat tidak mudah mempersalahkan pemain baru pulih kecederaan, G. Shanmugan kerana persembahan yang kurang memberangsakan.

Menurut Moey, pemain itu setakat ini masih tidak berbisa kerana kesan pembedahan yang dialami belum pulih sepenuhnya dan kurang menyakinkan untuk bekerja keras.

''Oleh itu, saya minta para peminat bersabar dan berikan sedikit masa untuk G. Shanmugan bertindak cemerlang,''.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4FhXz3kzJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 27 Julai 2016

P. Pinang turun tanpa Ahmad Sobri, Domi


 

ARKIB : 02/03/1998
AHMAD SOBRI ISMAIL.

PULAU Pinang ditimpa masalah berganda menjelang pertemuan menentang skuad Olimpik 2000, apabila penyerang harapannya, Domi Che Non dilanda kecederaan pada ketika isu yuran perpindahan penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail belum lagi selesai, lapor FAIZUL ABD. SHUKOR.

Bagaimanapun, tindakan mengejut Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) meminta bayaran perpindahan RM80,000 ke atas Ahmad Sobri Khamis lalu, tidak menjejaskan persiapan terakhir skuad Harimau Kumbang itu untuk menghadapi perlawanan pembukaan esok.

Pasukan berkenaan tetap menjalani latihan terakhir di Stadium Bandaraya petang semalam, biarpun tanpa kehadiran Ahmad Sobri dan Domi, yang mengalami kecederaan buku lali.

Jurulatih Pulau Pinang, Moey Yok Ham, berkata walaupun Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) masih menanti jawapan daripada KFA, persiapan terakhir tetap diteruskan.

''Bagi menyelesaikan kes ini FAP telah meminta Ahmad Sobri pulang dan berbincang dengan pengurusan pasukan lama untuk diselesaikan secepat mungkin.

''Bagaimanapun saya berharap KFA tidak mengambil kesempatan untuk menggugatkan persediaan kita untuk bertemu skuad Olimpik esok,'' katanya kepada Sukan Utusan di Stadium Bandaraya, semalam.

Namun begitu, Moey berkata, Pulau Pinang tetap bernafas lega dengan kehadiran penjaga gol, Megat Amir Faizal, Ruslan Abdul Rahim dan Shahul Hamid yang berkeupayaan mengisi tempat Ahmad Sobri.

Katanya lagi, Domi yang tidak turun berlatih selama beberapa hari mungkin tidak disenaraikan ketika perlawanan pembukaan nanti dan tempatnya akan diisikan oleh G. Shanmugan.

Keputusan itu menyaksikan G. Shanmugan, sekali lagi akan berganding dengan tonggak import, Merzagua Abderrazzak bagi menguatkan jentera serangan.

''Kita berharap gandingan yang pernah beraksi bersama dua tahun lalu akan melakukan kejutan nanti,'' katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata, FAP tidak akan membuat sebarang bayaran pampasan kepada Kedah.

Katanya, jika KFA betul-betul tidak mahu melepaskan Ahmad Sobri, FAP sedia menyerahkan semula pemain itu kepada pasukan berkenaan.

''Walau apa cara sekalipun, kita tidak akan membayar sesen pun yang diminta oleh KFA,'' tegasnya

Menurut Dr. Ibrahim lagi, jika FAP menyerahkan semula Ahmad Sobri kepada Kedah, segala bayaran mahupun gaji akan diuruskan semula oleh negeri itu.

''Bagaimanapun, keputusan muktamad akan diketahui Isnin ini (hari ini),'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Fc1qenRF © Utusan Melayu (M) Bhd


FAP serah kes Ahmad Sobri kepada FAM

ARKIB : 28/02/1998
PULAU Pinang tidak mahu 'berputih mata' malah akan terus menyenaraikan bekas penjaga gol Kedah, Ahmad Sobri untuk menyarung jersi Harimau Kumbang pada musim ini biarpun Persatuan Bola Sepak Kedah mahukan bayaran RM80,000 sebagai yuran perpindahan, lapor ZULKIFLI ABDULLAH.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata, apa yang diminta oleh Kedah itu menimbulkan kemusykilan kerana Ahmad Sobri tidak terikat lagi dengan pasukan Hijau Kuning.

Malah katanya, FAP ada menerima dua surat daripada Persatuan Bola Sepak Kedah yang memaklumkan bekas penjaga kebangsaan itu sudah habis kontraknya dengan pasukan asalnya pada 31 Disember lalu.

''Surat itu sudah menjelaskan kepada kami bahawa Ahmad Sobri boleh bermain dengan mana-mana pasukan dengan sebab itu, Pulau Pinang mengambilnya bermain,'' katanya di Pulau Pinang semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar kelamrin yang menyebut Kedah hanya membenarkan Ahmad Sobri mewakili Pulau Pinang sekiranya dibayar yuran perpindahan sebanyak RM80,000.

FAP sebelum ini dikatakan sudah meminta sijil perpindahan daripada Kedah bagi melepaskan Ahmad Sobri tetapi tidak diperolehi walaupun sudah dimaklumkan sebanyak dua kali.

Dr. Ibrahim menegaskan, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam usaha persiapan pasukan Harimau Kumbang untuk memulakan cabaran dengan menentang Skuad Olimpik 2000 Selasa ini.

''FAP akan membawa perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana ternyata Ahmad Sobri tidak ada lagi kontrak dengan mana-mana pasukan dan wajar pemain itu mewakili Pulau Pinang tanpa ada sebarang masalah,'' ujarnya.

Dalam menyelesaikan kekusutan itu, katanya, FAM harus campur tangan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit ini.

Sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan, Dr. Ibrahim memberitahu, FAP akan turut menyenaraikan seorang lagi penjaga gol iaitu bekas penjaga gol Olimpik, Megat Amir Faisal yang digugurkan kerana kecederaan.

Pulau Pinang kini ada dua lagi penjaga gol selain Ahmad Sobri iaitu Shahul Hamid dan Roslan Rahim.

Dalam perkembangan lain, Domi Che Non mungkin tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Olimpik 2000 di Stadium Merdeka, Selasa ini kerana mengalami kecederaan di lutut.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Fbvbqjsd © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 25 Julai 2016

P. Pinang lebih mantap - Moey

ARKIB : 01/02/1998
P. Pinang lebih mantap - Moey
KEHADIRAN enam pemain luar meyakinkan naib juara Piala FA musim lalu, Pulau Pinang untuk mengharungi perlawanan play-off untuk mengisi salah satu dari dua tempat ke Premier Satu.

Menurut jurulatihnya, Moey Yoke Ham kemantapan Pulau Pinang nampak meyakinkan tidak lagi seperti mengharungi kemalapan musim lalu.

''Saya begitu optimis peluang Pulau Pinang untuk layak ke Premier Satu cerah jika berdasarkan barisan pemain yang dimiliki kali ini,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Moey nyata lega dengan kehadiran bekas penjaga gol Kedah, Ahmad Sobri Ismail memperkukuhkan benteng terakhir malah kelibat dua bekas pemain pertahanan Kelantan, Fauzi Soh dan Zaidi Mat Ail melengkapkan lagi kekuatan di benteng.

Selain itu katanya, kehadiran bekas pemain Perak dan skuad Olimpik Barcelona, Chee Wan Hoe memberi kekuatan di benteng pertahanan.

Katanya, jentera serangan juga tampak mantap dengan adanya bekas penyerang Perlis, Domi Che Non yang akan berpasangan dengan pemain import yang dipanggil semula, Merzagua Abderrazzak.

Selain mengekalkan Balla Modou Conde dan kehadiran ayam tambatan baru dari Brazil, Fadio Fanticelle Da Silva akan memperkukuhkan bahagian tengah.

Seorang lagi pemain yang ditambat oleh Pulau Pinang ialah bekas pemain skuad Liga Simpanan Kuala Lumpur, Sharul Hamid.

''Biarpun saya masih belum melihat aksi sebenar Fanticelle tetap saya yakin dia adalah seorang pemain yang boleh menjanjikan sesuatu kepada Pulau Pinang.

''Jika dinilai satu demi satu barisan musim ini boleh saya sifatkan pasukan kali ini jauh lebih mantap berbanding ketika muncul naib juara Piala FA,'' katanya lagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FR4ITCGO © Utusan Melayu (M) Bhd

P. Pinang hilang Manzoor Azwira

ARKIB : 20/01/1998
LANGIT tidak selalu cerah bagi pasukan Pulau Pinang yang akan menghadapi Liga Malaysia '98, apabila kegembiraan yang dirasai sewaktu berjaya mengikat bekas penjaga gawang pasukan Kedah, Ahmad Sobri Ismail kelmarin, tidak berpanjangan, YUSWAN YUNUS melaporkan.

Pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menyangka kesudian Ahmad Sobri menyarung jersi Harimau Kumbang musim ini dapat menghilangkan kebimbangan pasukan itu yang kehilangan penjaga gol utamanya musim lalu, Zambri Mat Arif kepada Perak.

Malang sekali lagi menimpa pasukan itu semalam, apabila mereka menerima perkhabaran yang mengejutkan, Manzoor Azwira Abd. Wahid membuat keputusan untuk berehat sementara daripada Liga-M selama dua tahun.

Manzoor, pemain posisi tengah itu mula mewakili Pulau Pinang pada 1996 setelah diserapkan daripada skuad pelapis yang diwakilinya sejak 1994 dan turut menyumbangkan tenaga kepada kejayaan pasukan itu muncul sebagai naib juara Piala FA tahun lalu.

Dia memberi alasan tidak dapat memberi sepenuh tumpuan kepada bola sepak buat masa sekarang dan ingin mencuba kerjaya baru.

''Saya mempunyai beberapa rakan yang sudi mencarikan pekerjaan biasa, yang kerja antara pukul 9 pagi hingga 5 petang. Segalanya akan saya putuskan selepas Hari Raya ini,'' katanya.

Sumber FAP, memberitahu jurulatih Moey Yok Ham terkejut dengan perkembangan terbaru itu dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada pasukan yang bakal mengharungi perlawanan kelayakan untuk menentukan sama ada bertarung di Premier Satu atau dua musim ini.

Keputusan Manzoor itu mengejutkan skuad Pulau Mutiara itu yang sedang ghairah memburu bintang-bintang luar yang sebelum ini mereka berjaya menyambar penyerang berbisa Perlis, Domi Che Non dan pemain pertahanan pasukan Seladang, Chee Wan Hoe.

Timbul persoalan adakah kedatangan pemain luar dari Pulau Pinang menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemain tempatan kerana sebelum ini terdengar rungutan di kalangan mereka mengenai kebajikan yang kurang diambil berat terutama dari segi gaji.

Difahamkan ada di antara pemain utama Pulau Pinang yang berjaya mengharumkan nama pasukan sehingga tewas kepada Selangor di perlawanan akhir Piala FA tahun lalu, menerima gaji dalam lingkungan RM1,500 hingga RM2,000 sebulan, tanpa sebarang kenaikan pada musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FQQnlqlG © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 23 Julai 2016

KEPUTUSAN MASA PERTAMA LIGA SUPER 23.7.2016

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
PDRM       0-1 FELDA
                        m-35 Lutfulla Turaev  
Perak               1-0 Terengganu
m-26 Kenny Pallraj
Kelantan 0-0 Pahang
Pulau Pinang 0-0 Selangor
Kedah 0-0 PBDKT T-Team
Pulau Pinang   1 -1      Selangor


Barisan pemain ternama serbu Pulau Pinang

ARKIB : 12/01/1998
Barisan pemain ternama serbu Pulau Pinang
PULAU Pinang bakal dibarisi 'bintang-bintang tempatan' pada kempen bola sepak Liga Malaysia musim ini selepas persatuan bola sepak negeri itu mengubah dasar membenarkan pemain tempatan dari negeri lain beraksi untuk pasukan Pulau Mutiara itu, ROZAMAN ISMAIL melaporkan.

Skuad itu dijangka berwajah baru apabila bakal disertai pemain-pemain ternama yang pernah digelar bintang sewaktu bersama bekas pasukan masing-masing.

Jika sebelum ini naib juara Piala FA 1997 itu hanya mengutamakan anak-anak kelahiran negeri itu sahaja, kali ini mereka bersikap lebih terbuka dengan menawarkan peluang kepada mana-mana pemain yang masih belum mempunyai pasukan menyertai pasukan Pulau Pinang.

Ketika skuad Harimau Kumbang itu sudah hampir pasti mengikat pemain Perlis, Domi Che Non, beberapa lagi pemain yang pernah mencipta nama dengan bekas pasukan masing-masing dijangka turut mengikut jejak penyerang itu.

Antara yang menjadi sasaran Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) ialah bekas pemain pertahanan Kelantan, Zahasmi Ismail dan Fauzi Soh serta dua bekas pemain Selangor yang digugurkan baru-baru ini, Shahrin Majid dan Abdul Talib Sulaiman.

Sebelum ini dua bekas pemain Sabah, Mohd. Jaya Kassim dan Suharmin Yusuf turut menyatakan minat untuk menyarung jersi Pulau Pinang selepas mengadakan perbincangan dengan FAP.

Selain itu beberapa lagi pemain utama dari Kedah, Pahang dan Perak turut berminat dengan tawaran FAP itu.

Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad ketika ditemui mengesahkan FAP telah mengadakan perbincangan dengan Shahrin, Talib, Zahasmi dan Fauzi beberapa hari lalu.

''Saya sendiri telah menemui Shahrin dan Talib minggu lalu dan mereka ada menyatakan minat untuk bersama Pulau Pinang.

''Beberapa pegawai jawatankuasa pemilihan pemain juga turut mengadakan perbincangan dengan Zahasmi dan Fauzi.

''Pada masa ini kita sedang menunggu jawapan mereka dan pintu pasukan Pulau Pinang sentiasa terbuka luas untuk mereka,'' katanya lagi.

Mengenai kedudukan Mohd. Jaya dan Suharmin, Dr. Ibrahim berkata, kedua-dua masih belum menolak pelawaan Pulau Pinang sebaliknya sedang menimbangkannya dengan serius.

''Kedua-dua pemain itu ada menghubungi saya beberapa hari lalu sebagai susulan kepada tawaran FAP minggu lalu.

''Mereka masih belum menolak pelawaan kita dan pintu untuk mereka masih terbuka luas walaupun beberapa pasukan lain dikatakan turut memberi tawaran yang sama,'' ujarnya.

Beliau berkata, beberapa pemain dari negeri lain turut menyatakan minat yang sama.

Dr. Ibrahim bagaimanapun enggan menjelaskan identiti para pemain yang dimaksudkan itu.

Bagaimanapun Sukan Utusan difahamkan, Zahasmi dan Fauzi hampir pasti menjadi milik Pulau Pinang kerana kedua-duanya secara dasar amat tertarik dengan gaji serta faedah-faedah yang ditawarkan oleh pasukan itu.

Kedua-duanya dijangka datang ke Pulau Pinang dalam masa beberapa hari lagi untuk mengadakan perbincangan lanjut serta menandatangani kontrak yang ditawarkan.

Ketika ditanya adakah Pulau Pinang akan merasa kecewa sekiranya para pemain tersebut menolak di saat-saat akhir, Dr. Ibrahim menegaskan, soal kecewa tidak timbul langsung.

''Perkara tersebut adalah perkara biasa... para pemain berhak meneliti dan menimbang dengan sebaik-baiknya setiap tawaran yang diterima demi masa depan mereka.

''Kalau tawaran yang diterima baik, menarik, dapat menjamin masa depan serta memberi kepuasan...mereka akan terima dan pasukan yang gagal tidak harus merasa kecewa,'' tegasnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FF0r56Z2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Domi cadang sertai skuad Pulau Pinang

ARKIB : 09/01/1998
SEWAKTU Perlis kembali menabur janji manis untuk membendung penghijrahan pemainnya, penyerang berbisa Singa Utara, Domi Che Non pula ingin beralih angin dan menyarung jersi skuad Pulau Pinang musim ini.

Walaupun belum lagi menandatangani kontrak secara rasmi, Domi sudah menyatakan persetujuan mewakili skuad Harimau Kumbang kepada pengurusan Pulau Pinang.

Kelmarin, di hadapan pengurus pasukan, Datuk Mohd. Zain Omar dan jurulatih Moey Yok Ham, Domi menandatangani surat tawaran untuk mewakili Pulau Pinang dalam kontrak setahun yang akan ditandatangani pada 1 Februari ini.

Penghijrahan Domi memberi tamparan hebat kepada Perlis selepas kehilangan khidmat jurulatih Abdul Rahman Ibrahim serta pemain Badrulhisham Abdullah dan Anuar Jusoh yang berhijrah ke Terengganu.

Pulau Pinang juga turut memancing ketua pasukan Singa Utara, V. Thinagaran tetapi terlewat apabila pemain tersebut diikat terlebih awal oleh Perlis.

Domi menjelaskan, keputusan untuk menerima tawaran Pulau Pinang diambil selepas berpuas hati dengan segala syarat yang diberikan termasuk kedudukan gajinya.

Selain itu, kata Domi, keinginannya ke Pulau Pinang juga berdasarkan kepada kedudukannya yang berhampiran dengan keluarganya di Kulim, Kedah.

''Berdasarkan faktor ini, hanya dua pasukan menjadi pilihan iaitu Perlis dan Pulau Pinang kerana kedudukannya yang begitu menyelesakan saya dan keluarga,'' tambahnya.

Namun, kata Domi, tawaran Perlis tidak menepati syarat sebagaimana Pulau Pinang yang memikat hatinya untuk terus menyarung jersi Harimau Kumbang.

Sebelum ini, kata Domi, dia turut menerima tawaran daripada pasukan lain seperti Perak dan Negeri Sembilan, malah turut dipelawa oleh jurulatihnya musim lalu, Abdul Rahman untuk ke Terengganu.

''Memang ada tawaran daripada negeri-negeri ini (Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu), tetapi saya tidak pernah mengadakan perbincangan lanjut kerana tertarik di Pulau Pinang.

Dengan kehadiran Domi, barisan depan Pulau Pinang dijangka kembali ''menyengat'' selepas penyerang G. Shanmugam dan Abdul Ghaffar Hoosen terpaksa berehat agak lama kerana menjalani pembedahan kaki.

Apatah lagi, kembalinya penyerang Merzagua Abderrazak akan menjadi gandingan mantap Domi untuk membawa cabaran Pulau Pinang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FE77yl6x © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 22 Julai 2016

P. Pinang cuba pikat Mohd. Jaya

ARKIB : 02/01/1998
KONTROVERSI antara Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) dengan Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) kembali mencerahkan peluang beberapa buah pasukan termasuk Pulau Pinang yang ghairah memancing pemain skuad Negeri Di Bawah Bayu untuk membawa cabaran musim ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Antara pemain Sabah yang menjadi idaman Pulau Pinang ialah Mohd. Jaya Kassim yang begitu diperlukan untuk memantapkan barisan serangan skuad Harimau Kumbang.

Kemelut terkini yang melanda Sabah itu mendorong keinginan beberapa pemain skuad bola sepak negeri tersebut untuk mula mencari pasukan lain.

Sabah FA kini menghadapi tindakan drastik apabila MSNS menggugurkan keahliannya sehingga membawa kepada penarikan beberapa kemudahan tertentu termasuk penggunaan Stadium Likas yang menjadi milik majlis berkenaan.

Apatah lagi selepas MSNS melarang Sabah FA menggunakan status wakil rasmi negeri tersebut dalam Liga Malaysia, sudah cukup menggerunkan pemain.

Dalam kedudukan Sabah FA yang terumbang-ambing, pemain yang tidak mahu menanggung risiko sudah mula beralih minat untuk menyarung jersi pasukan lain.

Pastinya, tumpuan mereka ke Pulau Mutiara yang menyatakan keinginan untuk mendapatkan khidmat pemain Negeri Di Bawah Bayu.

Selain Mohd. Jaya, skuad Harimau Kumbang berminat dengan beberapa lagi pemain Sabah tetapi terpaksa menghadkan pengambilan dari Negeri Di Bawah Bayu berikutan krisis ekonomi yang melanda negara ini.

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mula memancing Mohd. Jaya sejak skuad Harimau Kumbang tersingkir daripada saingan Piala Malaysia lagi.

Kehadiran Mohd. Jaya dijangka memenuhi kehendak FAP bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu, apatah lagi setelah penyerang Merzagua Abderrazak sudah menyatakan keinginannya untuk kembali.

Sementara, dua pemain yang digugurkan oleh Selangor, Abdul Talib Sulaiman dan Shahrin Majid turut menarik minat Pulau Pinang untuk disenaraikan dalam skuad Harimau Kumbang musim depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FD3n18fH © Utusan Melayu (M) Bhd