Isnin, 25 Julai 2016

P. Pinang hilang Manzoor Azwira

ARKIB : 20/01/1998
LANGIT tidak selalu cerah bagi pasukan Pulau Pinang yang akan menghadapi Liga Malaysia '98, apabila kegembiraan yang dirasai sewaktu berjaya mengikat bekas penjaga gawang pasukan Kedah, Ahmad Sobri Ismail kelmarin, tidak berpanjangan, YUSWAN YUNUS melaporkan.

Pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menyangka kesudian Ahmad Sobri menyarung jersi Harimau Kumbang musim ini dapat menghilangkan kebimbangan pasukan itu yang kehilangan penjaga gol utamanya musim lalu, Zambri Mat Arif kepada Perak.

Malang sekali lagi menimpa pasukan itu semalam, apabila mereka menerima perkhabaran yang mengejutkan, Manzoor Azwira Abd. Wahid membuat keputusan untuk berehat sementara daripada Liga-M selama dua tahun.

Manzoor, pemain posisi tengah itu mula mewakili Pulau Pinang pada 1996 setelah diserapkan daripada skuad pelapis yang diwakilinya sejak 1994 dan turut menyumbangkan tenaga kepada kejayaan pasukan itu muncul sebagai naib juara Piala FA tahun lalu.

Dia memberi alasan tidak dapat memberi sepenuh tumpuan kepada bola sepak buat masa sekarang dan ingin mencuba kerjaya baru.

''Saya mempunyai beberapa rakan yang sudi mencarikan pekerjaan biasa, yang kerja antara pukul 9 pagi hingga 5 petang. Segalanya akan saya putuskan selepas Hari Raya ini,'' katanya.

Sumber FAP, memberitahu jurulatih Moey Yok Ham terkejut dengan perkembangan terbaru itu dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada pasukan yang bakal mengharungi perlawanan kelayakan untuk menentukan sama ada bertarung di Premier Satu atau dua musim ini.

Keputusan Manzoor itu mengejutkan skuad Pulau Mutiara itu yang sedang ghairah memburu bintang-bintang luar yang sebelum ini mereka berjaya menyambar penyerang berbisa Perlis, Domi Che Non dan pemain pertahanan pasukan Seladang, Chee Wan Hoe.

Timbul persoalan adakah kedatangan pemain luar dari Pulau Pinang menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemain tempatan kerana sebelum ini terdengar rungutan di kalangan mereka mengenai kebajikan yang kurang diambil berat terutama dari segi gaji.

Difahamkan ada di antara pemain utama Pulau Pinang yang berjaya mengharumkan nama pasukan sehingga tewas kepada Selangor di perlawanan akhir Piala FA tahun lalu, menerima gaji dalam lingkungan RM1,500 hingga RM2,000 sebulan, tanpa sebarang kenaikan pada musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FQQnlqlG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan