PULAU PINANG mencipta
kemenangan kedua apabila menewaskan Sabah 1-0 dalam perlawnan bola sepak
Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Setelah garang dalam perlawanan
pembukaan menerusi jaringan 3-0 ke atas Negeri Sembilan, Pulau Pinang terpaksa
menunggu sehingga minit ke-80 untuk memperolehi jaringan tunggal menerusi Balla
Modou Conde yang sekali gus melengkapkan jumlah enam mata untuk skuad Harima
Kumbang itu.
Sabah pula terpaksa menanggung
aib apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut dibelasah Pahang 0-3 di
Stadium Likas, dalam perlawanan yang lalu.
Tanpa gerakan merbahaya,
persembahan hambar menjadikan kedua-dua pasukan terlalu berhati-hati mengatur
gerakan sebaik bermula babak pertama.
Begitu juga dengan pasukan tuan
rumah, yang melepaskan satu peluang keemasan apabila sepakan kencang Balla Modou
Conde menyaksikan bola muntah daripada dakapan penjaga gol, Khairul Azman
Mohamad.
Bagaimanapun penyerang Pulau
Pinang, Merzagua Abderrazak yang berada di depan gawang Sabah lambat menyambar
peluang pada minit ke-29.
Permulaan separuh masa kedua
penuh dengan adegan lebih tegang menerusi kekasaran yang dipamerkan pemain
kedua-dua pasukan.
Dengan pergerakan Pulau Pinang
masih tersekat, Sabah kembali menguasai rentak permainan sepanjang 21 minit
babak kedua berlangsung.
Peluang keemasan terhidang
apabila Sabah memperolehi tendangan percuma tetapi sepakan cantik Yap Wai Loon
dari jarak 30 meter ditepis penjaga gol, Ahmad Sobri pada minit ke-73.
Aksi berbalas serangan kembali
tersaji untuk giliran pemain gantian Pulau Pinang Ooi Hoe Guan membuat satu
sepakan cantik yang sekadar melewati pintu gol pasukan pelawat seminit
kemudian.
Akhirnya kemarau gol diatasi
Pulau Pinang apabila hantara Merzagua Abderrazak di tanduk masuk Balla Conde
untuk jaringan minit ke-80.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4GjSlFOcW
© Utusan Melayu (M) Bhd