Khamis, 4 Ogos 2016

Moey harapkan Fabio, Fauzi pulih


 

Moey harapkan Fabio, Fauzi pulih
LEPAS LELAH... Dua pemain Pulau Pinang (PP), G. Shanmugam (kiri) dan K. Nanthakumar berehat seketika selepas menjalani latihan di padang Kelab Sukan negeri itu, semalam. PP akan menghadapi Sabah di Stadium Bandaraya, Sabtu ini.

WALAUPUN telah mendapat tiga mata selepas perlawanan pembukaan ke atas Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi 4 April lalu, Pulau Pinang tetap menganggap cabaran masih getir lebih-lebih lagi pada pertemuan dengan Sabah di Stadium Bandaraya Sabtu ini, lapor FAIZUL ABD. SHUKOR.

Berita skuad Sabah yang tewas ke atas Pahang 3-0, minggu lalu juga tidak dianggap sebagai satu kelebihan kepada skuad Pulau Mutiara.

Malah skuad Harimau Kumbang lebih gembira sekiranya pemain tengah harapan Fabio Da Silva dan Fauzi Soh yang tidak diturunkan ketika menentang Negeri Sembilan kerana kecederaan dapat beraksi ketika menentang Sabah nanti.

Jurulatih pasukan itu, Moey Yok Ham ketika ditemui di padang latihan mengakui jika kedua-dua pemain pulih sepenuhnya sudah pasti pasukan itu akan lebih seimbang dan mantap untuk menghadapi pelawat nanti.

''Jika sebelum ini kita terpaksa mengenepikan beberapa pemain pilihan yang kecederaan ketika beraksi depan penonton, mungkin kali ini kita akan gandingkan mereka dalam perlawanan akan datang itu nanti.

''Walau bagaimanapun kita masih perlu berhati- hati untuk berdepan dengan pasukan Sabah biarpun mendapat sokongan di tempat sendiri,'' katanya.

Namun begitu jurulatih itu berkata, tahap kecergasan Fauzi masih dalam perhatian berbanding dengan Fabio yang sudah mula turun menjalani latihan bersama semalam.

Biarpun Sabah kalah di tempat sendiri dengan Pahang, sebagai jurulatih Moey tetap mengakui pasukan itu masih mempunyai pemain yang baik seperti penjaga gol, Khairul Azman Mohamed, Yap Wai Loon, David Rocastle dan Jekerison Kilan.

Pulau Pinang yang kelebihan beraksi di tempat sendiri tetap gembira kerana 'belangkas' pasukan itu Balla Conde serta Merzagua Abderazzak berada di tahap memuaskan.

Dengan semangat yang tinggi untuk membantu Pulau Pinang di Perdana Satu serta kerajinan Conde menguasai padang permainan tanpa erti penat lelah juga dijangka melakukan kejutan ke atas pasukan lawan.

Selain itu, Domi Che Non yang pernah membantu Pulau Pinang mengutip tiga mata setelah menggantikan G. Shanmugam dalam babak kedua ketika menentang Negeri Sembilan dijangka terus memberi aksi garang semasa bertemu Sabah kerana telah pulih daripada kecederaan.

Sementara itu, sebelum ini Merzagua yang pernah menerima keceman daripada penyokong kerana hilang bisa untuk muncul sebagai penjaring digeruni kini mula menampakkan belangnya.

Beliau yang turun menjalani latihan bersama pemain lain di sini nampaknya lebih cegas dan bertenaga.

Walau bagaimanapun ketika ditemui di tempat latihan semalam, dia rasa kecewa kerana masih terdapat segelintir para peminat bola sepak khususnya penyokong Pulau Pinang hanya mengharapkan yang terbaik.

Katanya, penyokong akan memuja jika persembahan ditunjukkan hebat dan 'membuli' sekiranya tidak dapat dilakukan seperti diharapkan.

Ekoran itu, Merzagua cuba mengelakkan diri untuk ditemuramah oleh beberapa wakil media.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4GLbrlUsu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan