Sabtu, 3 September 2016

Pulau Pinang terus malang

ARKIB : 30/04/1998
Pulau Pinang terus malang
PULAU Pinang yang kalah tipis 2-3 kepada Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Sabtu lalu terus dirundung malang apabila Moey Kok Hong belum pasti dapat membantu pasukan itu Sabtu ini.

Malah, pasukan itu menghadapi kemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat Ng Kok Heng yang cedera di paha dan terpaksa direhatkan sementara.

Jurulatih pasukan itu, Moey Yok Ham yang masih 'pening' memikirkan keputusan pengadil membatalkan gol ketiga rembatan Fabio Da Silva, kini terpaksa membuat persiapan tergesa-gesa dan perhitungan bagi mencari pengganti Ng Kok Heng untuk menghadapi Brunei, Sabtu ini.

Katanya, untuk mengantikan pemain lain di tempat Ng Kok Heng bukanlah masalah baginya, tetapi takut tidak menjadi sepertimana yang dirancangkan.

''Walau bagaimanapun, kita masih mengharap Kok Hong dapat beraksi ketika bertemu dengan Brunei nanti.

''Jika Kok Hong mampu beraksi, sekali gus Pulau Mutiara berada dalam keadaan seimbang di semua penjuru,'' katanya kepada Sukan Utusan di Stadium Bandaraya, semalam.

Kok Hong yang kadang-kadang ditugaskan supaya beraksi sebagai defensive midfielder juga diperlukan untuk mengawasi Mohd. Brian Bothwell Abdullah yang mempunyai kebolehan melakukan tandukan sepertinya (Kok Hong).

Moey juga berharap persembahan anak buahnya di tempat sendiri nanti tidak akan menghampakan peminat Pulau Pinang kerana mereka mampu mempamerkan aksi yang menarik ketika bertemu Brunei nanti.

''Saya yakin mereka akan mempamerkan semangat juang seperti mana ketika menentang Pahang,'' katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Moey turut mengakui bekas pemain Perlis, Domi Che Non kini belum mampu menunjukkan apa yang diharapkan.

Katanya, dari lima perlawanan hanya ketika bertemu Negeri Sembilan sahaja Domi mampu mempamerkan aksi menarik apabila membantu menyumbatkan satu gol untuk Pulau Pinang.

Menurut Moey, di samping dikawal terlalu ketat oleh pemain pertahanan lawan dalam setiap perlawanan, dia juga belum mampu bertindak pada tahap kecergasan seratus peratus.

Oleh itu, beliau meminta para penyokong bersabar dan memberi sedikit masa untuk Domi mendapat ketahanan fizikal yang tinggi bagi beraksi dengan baik.

Jurulatih itu memberitahu, berbanding dengan pemain lain, Domi masih ketinggalan dari segi latihan fizikal kerana kecederaan lalu.

''Suatu hari nanti saya percaya prestasi Domi akan menjadi lebih baik seperti mana yang diharapkan,'' ujarnya.

Oleh: FAIZUL ABD. SHUKOR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JCoIRes5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan