ARKIB : 23/03/1999
AKSI awal Sabtu lalu
mendedahkan segala-galanya, kekuatan atau kepincangan yang sudah disajikan
menjadi rujukan penting kepada 10 pasukan dalam mengharungi bola sepak Liga
Perdana Satu malam ini.
Pastinya, nama penyerang Pulau
Pinang, Azman Adnan kembali mencetuskan kebimbangan kepada Brunei yang
bertandang ke Stadium Bandaraya.
Keupayaannya menghasilkan dua
jaringan daripada tiga peluang yang diperolehnya sewaktu Pulau Pinang seri 2-2
dalam masa permainan sebenar membayangkan betapa Azman masih 'berbisa'
sebagaimana garang pasukan barunya, 'harimau kumbang.'
Kemantapan di kesemua posisi
kerana diperkuatkan pemain daripada negeri lain seperti S. Ragesh (Kedah),
Azlisham Ibrahim, Shahril Arsat dan Asmawi Bakiri (Selangor), V. Thinagaran
(Perlis), Wong Kah Loon serta Badrisan Kadir (Kelantan), Pulau Pinang mempunyai
banyak kelebihan.
Bagaimanapun Pulau Pinang
seharusnya berhati-hati kerana Brunei bukannya pasukan 10 tahun lalu yang
sering menghuni kelompok terbawah.
Kekalahan 3-4 kepada Kuala
Lumpur yang dibarisi ramai pemain ''muka'' baru memungkinkan Brunei untuk
bangkit mencipta kemenangan sebagai penebus maruah, apatah lagi dengan
kesempatan menurunkan pemain importnya.
Selain Pulau Pinang, pasukan
Perdana Satu mempunyai sebab untuk memberi sepenuh tumpuan kepada johan Piala
Malaysia 1998, Perak yang mempunyai semangat paling tinggi selepas meraih
kejuaraan pertama musim ini, Piala Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan
sumbangsih.
Walaupun terpaksa bertandang ke
gelanggang lawan, Stadium Darulmakmur, Perak sudah pasti mempergunakan setiap
peluang dalam mencari kelemahan Pahang yang masih ''tersepit'' dengan
kontroversi peletakan jawatan jurulatih Alan Davidson.
Sementara skuad yang sering
''di belakangkan'' iaitu Kuala Lumpur sudah pasti menggentarkan Sarawak selepas
kejayaannya mengatasi Brunei.
Kemenangan Kuala Lumpur yang
dibarisi ramai ''muka baru,'' jelas memberi amaran kepada Sarawak supaya tidak
memandang mudah keupayaan skuad warga kota itu, apatah lagi beraksi di Lembah
Klang.
Begitu juga dengan Negeri
Sembilan, perlu berwaspada untuk menghadapi Kedah yang dibarisi pemain baru
selepas ramai tonggaknya berhijrah ke negeri lain.
Hanya kelebihan Negeri Sembilan
bersandarkan kepada Zami Mohd. Noor yang menjaringkan dua gol dalam pertemuan
dengan Pulau Pinang.
Pastinya, Zami diletakkan
harapan tinggi untuk mencari seberapa banyak jaringan ke atas Kedah yang
ketandusan penyerang berwibawa selepas ramai pemain handalannya berhijrah ke
pasukan lain.
Sabah pula tidak terkecuali
untuk 'bekerja keras' kerana lawannya Terengganu bukan sahaja pasukan terkuat
di Pantai Timur, malah mempunyai reputasi selaku naib juara Piala Malaysia
1998.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RAyncu00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan