ARKIB : 07/10/1998
HANYA tiga saingan menghentikan
langkah bergaya Pulau Pinang apabila tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur dalam
perlawanan Kumpulan A, Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Selepas mencipta dua
kemenangan, menang besar 4-1 ke atas Negeri Sembilan dan menewaskan Kedah 2-1,
Pulau Pinang gagal mencipta jaringan berterusan kerana kelekaan pemain sendiri.
Agak menyedihkan juara liga itu
tewas di gelanggang sendiri, di hadapan 5,000 penonton yang menyaksikan S.
Paidiyah Rau melenyapkan harapan skuad Harimau Kumbang untuk mengutip mata
penuh hasil jaringan pada minit ke-55.
Padang yang licin akibat hujan
menyukarkan kedua-dua pasukan untuk melakukan gerakan cantik bagi mencari jaringan.
Tidak ada percubaan menarik
dapat dilakukan oleh Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sebaik pengadil, Jamil
Zakaria meniupkan wisel tanda permulaan babak pertama.
Sikap pemain Pulau Pinang yang
terlalu bergantung kepada Merzagua Abderrazzak sering kali membantutkan
serangan skuad Harimau Kumbang itu, yang sering melakukan hantaran tidak
menentu.
Selama 30 minit berlangsung,
Pulau Pinang masih gagal menembusi benteng Kuala Lumpur untuk memudahkan skuad
warga kota itu bertindak balas.
Sebaliknya, ketumpulan barisan
penyerang Kuala Lumpur yang diterajui Meor Nor Samsul dan Paidiyah Rau
melegakan penjaga gol Harimau Kumbang, Ahmad Sobri Ismail.
Hanya seminit sebelum tirai
separuh masa pertama ditutup, Domi Che Non memperoleh peluang terbaik tetapi
rembatan kencangnya melepasi palang gol Pulau Pinang untuk kedua-dua pasukan
terikat tanpa jaringan.
Separuh masa kedua mengundang
bahaya buat Kuala Lumpur apabila tandukan Balla Modou Conde disudahi dengan
tendangan Merzagua , tetapi penjaga gol Azmin Azram Aziz sempat menepis
percubaan minit ke-51.
Di sebalik keghairahan Pulau
Pinang, tanpa disangka Kuala Lumpur mengatur gerakan balas yang memerangkap
benteng pertahanan skuad Harimau Kubdang.
Hantaran pemain tengah, Azlan
Meri ke dalam kotak penalti Pulau Pinang, menyaksikan beberapa pemain
pertahanan pasukan tuan rumah melakukan kesilapan sehingga memudahkan Paidiyah
Rau melakukan tendangan kencang menewaskan penjaga gol Ahmad Sobri pada minit
ke-55.
Ketinggalan satu jaringan
membangkitkan semangat Pulau Pinang untuk mencari gol, tetapi masih gagal
meskipun pertahanan Kuala Lumpur diajak berhempas pulas.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4OlF5NEPS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan