ARKIB : 07/06/2000
SEORANG petugas sedang memotong
rumput padang di Stadium Bukit Kawan, Pulau Pinang yang akan menjadi gelanggang
perlawanan akhir bola sepak Piala FA pada 10 Jun ini.
PELUANG kali kedua seharusnya
tidak dilepaskan lagi oleh Pulau Pinang yang bakal berdepan dengan Terengganu
pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Negeri di Batu Kawan, Seberang Perai
Selatan pada 10 Jun ini.
Selepas gagal dalam percubaan
kali pertama untuk menjulang piala tersebut apabila mengalami kekalahan tipis
0-1 kepada Selangor pada 1997, Pulau Pinang kini mempunyai peluang sekali lagi.
Pastinya, peluang terhidang
menyemarakkan semangat Pulau Pinang yang bukan sahaja ''mengidam'' bagi
mencipta sejarah meraih Piala FA buat kali pertama tetapi untuk meninggalkan
kenangan manis memenanginya di stadium baru bernilai RM104 juta.
Pengurus skuad Pulau Pinang,
Datuk Mohd. Zain Omar berkata, kesempatan beraksi dalam perlawanan akhir
seharusnya direbut oleh pemain ''harimau kumbang''.
''Jika pemain berjaya
mengharungi cabaran sehingga ke perlawanan akhir, kenapa mereka tidak boleh
menjuarai Piala FA,'' kata beliau semalam.
Kata beliau, kelebihan beraksi
di gelanggang sendiri perlu menjadi dorongan kepada pemain untuk memastikan
Pulau Pinang memenuhi impian untuk menjulang piala tersebut.
''Pemain harus ingat,
kemenangan kali ini juga cukup manis kerana inilah perlawanan pertama di
gelanggang baru Stadium Negeri di Batu Kawan.
''Tentunya manis memenangi
Piala FA buat pertama kali dalam perlawanan bola sepak pertama diadakan di
stadium berkenaan, tambahan pula perlawanan akhir,'' tambah beliau.
Bagaimanapun, kata Zain, pemain
tidak seharusnya memandang rendah keupayaan Terengganu yang turut mempunyai
keinginan sama dengan Pulau Pinang bagi merebut Piala FA.
''Dua pasukan mempunyai satu
matlamat, sudah tentu masing- masing akan berusaha sebaik mungkin bagi mencapai
cita- cita... jadi Pulau Pinang perlu berwaspada,'' kata beliau.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHAR
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TkYud9vu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan