Jumaat, 17 Mac 2017

P. Pinang mahu benam Perak

ARKIB : 08/05/2001
PULAU PINANG yang menerima aib selepas tewas 0-1 dengan pendahulu Liga Perdana Satu, Terengganu di gelanggang sendiri Selasa lalu berjanji untuk memberi persembahan menarik sekali gus mencatat kemenangan untuk membawa pulang tiga mata apabila bertandang ke Ipoh menentang Perak malam ini, lapor AHMAD SYAHIR KASSIM.

Episod ngeri selepas rekod tanpa kalah dimusnahkan oleh Penyu tidak melemahkan semangat para pemain Harimau Kumbang untuk membaham Seladang sekali gus mengembalikan kepercayaan peminat mengenai semangat juang tinggi yang dimiliki oleh anak buah Irfan Bakti.

Walaupun memenangi lima daripada lapan perlawanan ketumpulan barisan serangan yang longlai di depan gol dalam perlawanan menentang anak buah Mat Zan Mat Aris pasti dapat diatasi dengan keazaman tinggi rangkaian penyerang yang diketuai Hasmawi Hassan dan kelincahan ayam tambatan Mohd Noor Derus untuk menggegar gawang anak didik Karl Heinz Weigang.

Menurut Irfan, para pemainnya telah melupakan episod kecewa ketika tewas kepada Terengganu minggu lalu dan berazam untuk menebus kehampaan itu dengan membenam Perak malam ini.

Katanya, para pemain telah diberi motivasi sepanjang seminggu ini selain latihan teknikal dan pendekatan untuk menajamkan barisan serangan bagi merobek gawang lawan.

Pulau Pinang yang tidak menurunkan Mohd Aiman Wong dan Aziz Ismail kerana menerima dua kad kuning dan terpaksa menjalani hukuman gantung satu perlawanan selain kecederaan Mohd. Fareed Shah Hassan dan R Suresh Kumar tidak gusar dengan keadaan itu kerana kekosongan mereka akan diisi oleh pemain lain yang mampu memikul tugas itu.

Menurut Irfan, beliau tidak bimbang dengan situasi itu kerana para pemain lain seperti Samuel Raj mampu menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain yang cedera dan yang menjalani hukuman pergantungan satu perlawanan.

Mengulas mengenai Pulau Pinang yang dijadikan sebagai pusat rasuah di kalangan bookie baru-baru ini, beliau berkata, penglibatan bookie tersebut tiada kaitan dengan para pemain negeri ini dan mereka juga selalu diingatkan supaya tidak menerima sebarang tawaran daripada pihak yang tidak dikenali.

``Cubaan menjual perlawanan melibatkan pemain Pahang dan tempat insiden itu pula di Pulau Pinang, para pemain negeri ini tidak terlibat dengan perkara itu dan mereka juga tidak didekati oleh orang yang cuba memberi tawaran dalam apa bentuk sekali pun,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bavvbsHc

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan