ARKIB : 30/07/2001
Oleh Zainu'l Azhar Ash'ari
SEGALA percaturan tersusun rapi
namun buat tiga pasukan, musuh utama Pulau Pinang wajar untuk terus dicemburui
kerana masih berupaya menguasai takhta Liga Perdana Satu selepas berakhir
perlawanan kelmarin.
Kejayaan Pulau Pinang
menewaskan Melaka 3-0 di Stadium Kubu terus mengukuhkan kedudukannya di tangga
teratas Liga Perdana Satu biarpun pencabar terdekatnya Terengganu mengekori
rapat apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur.
Dengan kemenangan tersebut,
Pulau Pinang mengumpul 35 mata untuk terus menjadi pendahulu manakala
Terengganu mengutip 32 mata din tangga kedua.
Walaupun Melaka merupakan
pasukan di tangga kedua terbawah, masih ada di antara pasukan yang mengharapkan
Pulau Pinang tewas berdasarkan rekod tanpa kalah skuad kancil di Stadium Kubu.
Ternyata, dengan Pulau Pinang,
Stadium Kubu bukannya lagi kebal malah Melaka buat pertama kalinya tewas dalam
saingan di bumi sendiri.
Kemenangan Pulau Pinang terus
membuka mata beberapa lagi pasukan khususnya Terengganu yang turut beraksi
cemerlang untuk menewaskan Kuala Lumpur bagi membuka ruang lebih luas bagi
memintas harimau kumbang.
Begitu juga Kelantan yang masih
menguasai tangga ketiga selepas menang 3-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium
Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Kelantan mengumpul 30 mata
selepas kemenangan tersebut yang sememangnya dicari supaya jarak di antaranya
dengan pendahulu liga tidak terlalu jauh kerana skuad kijang merah itu turut
mengidam kejuaraan Liga Perdana Satu.
Persaingan itu menjadikan aksi
Liga Perdana Satu menjadi semakin menarik, penuh dengan muslihat setiap pasukan
yang bertanding khususnya di kelompok teratas.
Berbanding dengan ketiga-tiga
pasukan teratas yang menang selesa, Selangor hanya berupaya seri dengan Perak
menerusi keputusan 1-1 untuk mengekalkan kedudukan di tangga keempat dengan
mengumpul 27 mata.
Seharusnya, di Stadium Shah
Alam, Selangor mampu mencatat kemenangan tetapi Perak yang jurulatihnya Karl
Heinz Weigang hanya menjadi penonton selepas diketepikan, gagal mengambil
kesempatan.
Tangga tercorot pula tetap
tidak dilepaskan Johor yang tewas 0-3 kepada Sarawak manakala Perlis seri tanpa
jaringan dengan Pahang di Stadium Utama, Kangar.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bhoNpurj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan