ARKIB : 19/02/2007
Oleh Wan Najib Wan Daud
PULAU PINANG Jurulatih Pulau
Pinang, Josef Herel mengakui barisan pemainnya yang menggalas cabaran dalam
liga bola sepak musim ini tidak cukup mantap dan bagus untuk bersaing dengan
pasukan handalan lain.
Menurut Herel, persembahan yang
tidak konsisten dalam setiap aksi perlawanan cukup menggusarkan beliau apatah
lagi jika bertemu dengan pasukan yang lebih setakuk dari apa yang ada dalam
pasukannya.
Beliau mengakui masih
tercari-cari rentak permainan terbaik pasukannya selepas beberapa perlawanan,
namun ia bagaikan tidak kunjung tiba setiap kali pasukannya tewas dalam
perlawanan sama ada Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
"Saya masih
tercari-tercari rentak permainan terbaik setiap kali bermain tetapi tahap
pasukan masih lagi ketinggalan walaupun bertemu dengan pasukan bertaraf
kelab," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, jika diukur
dengan persembahan pasukan lain, taraf permainan anak-anak didiknya tidak jauh
berbeza, malah diyakini boleh pergi jauh jika semua pemain mempersembahkan
prestasi terbaik mereka.
"Sebenarnya Pulau Pinang
boleh menjadi pasukan yang disegani kerana kita memiliki pemain-pemain muda
berbakat, malah rata-rata yang disenaraikan adalah yang terbaik dan
berpengalaman dan bukan setahun jagung dalam bola sepak," ujarnya.
Herel yang tidak mahu menoleh
ke belakang berkata, apa yang mahu dilakukannya sekarang adalah berusaha untuk
memperbaiki kelemahan yang ada serta mempertajamkan mana-mana bahagian dilihat
tumpul.
Apa yang merungsingkan beliau
ialah barisan penyerang masih gagal menggalas harapan dan cabaran untuk lebih
berfungsi dan efektif setiap kali turun mempamerkan aksi.
Skuad Harimau Kumbang
seakan-akan tiada jawapan terhadap barisan depannya yang kini dilihat semakin
tumpul dan kaku di depan gawang gol.
Contoh terbaru ketika skuad
didikan Herel itu bertemu dengan Terengganu dalam aksi Piala Malaysia apabila
gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang walaupun hanya berdepan dengan
penjaga gol lawan.
Dalam aksi kedua Piala Malaysia
di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin, pasukan
tuan rumah berpesta gol apabila menewaskan Pulau Pinang 4-0 dalam saingan
Kumpulan B.
Tuan rumah membuka jaringan
pada minit ke-35 menerusi tandukan penyerang import dari Brazil, Sharlei Miranda
yang berpunca dari hantaran silang Rosairil Asrul Mohd. Nor.
Gandingan import Brazil,
Miranda dan Helton Soares sering mengucar-kacirkan benteng pelawat, namun gagal
menewaskan penjaga gol, S Shankar buat kali kedua untuk menambah jaringan gol.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tKQ4Gv7C
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan