Selasa, 13 September 2016

Jika mahu juarai Liga Perdana Satu -- Pulau Pinang perlu ubah corak permainan

ARKIB : 30/07/1998
KEMENANGAN tipis 1-0 ke atas Perak sekadar membayangkan kehandalannya sedangkan untuk bergelar ''jaguh,'' mungkin terlalu sukar buat Pulau Pinang sekiranya masih mempamerkan aksi hambar seperti dipersembahkan dalam perlawanan Liga Perdana Satu, di Stadium Bandaraya, kelmarin.

ZAINU'L AZHAR ASH'ARI melaporkan, dengan mengumpul 38 mata selepas kemenangan kelmarin, hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Pahang, Pulau Pinang belum boleh berbangga.

Ini kerana Pulau Pinang akan berdepan Selangor di Stadium Shah Alam yang sudah memalukan Negeri Sembilan apabila tewas 4-0, manakala Pahang pula menghadapi cabaran Brunei, juga di gelanggang lawan.

Kemenangan ke atas Selangor penting untuk menjayakan 'misi mustahil' Pulau Pinang, mencipta sejarah meraih kejuaraan pertama liga, dengan harapan Pahang kalah atau seri dengan Brunei.

Jika Pahang menang ke atas Brunei, apa juga keputusan di Stadium Shah Alam tidak mampu menghalang skuad Tok Gajah daripada menjulang piala liga musim ini.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Perak membayangkan betapa Pulau Pinang menghadapi laluan sukar di Stadium Shah Alam sekalipun tonggaknya, Domi Che Non dapat beraksi selepas menjalani pergantungan permainan.

Pulau Pinang menang ke atas Perak, tetapi corak permainan yang ditunjukkan belum berhak untuk mewajarkannya bergelar juara liga.

Nasihat ini bukannya daripada penyokong atau mereka kurang arif tentang bola sepak, tetapi pakar taktikal iaitu jurulatih Perak sendiri, Karl Heinz Weigang yang ikhlas mahukan Pulau Pinang mengubah corak permainan jika ingin menjadi juara.

''Tahniah kerana kemenangan ke atas Perak tetapi ikhlas saya katakan, Pulau Pinang tidak mampu menjadi juara jika beraksi seperti malam ini (kelmarin),'' kata beliau sebaik tamat perlawanan Liga Perdana Satu, di Stadium Bandaraya.

Kata beliau, hanya sedikit nasib menyebelahi Pulau Pinang akibat kesilapan pemain pertahanan, Khairul Anuar Baharom yang gagal membayangi Merzagua sehingga berjaya menanduk jaringan tunggal.

Sehubungan itu, kata Weigang, Pulau Pinang perlu mengubah corak permainan di samping pemain-pemain memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejuaraan menajdi milik mereka.

Mengenai kekalahan Perak, Weigang berkata, 'anak-anak buahnya' gagal disebabkan hanya ''beraksi'' dalam separuh masa pertama sedangkan bola sepak memerlukan komitmen sehingga tamat permainan iaitu selamam 90 minit.

''Pemain perlu menerima hakikat kekalahan ini disebabkan mereka hanya bermain dengan baik dalam separuh masa kedua, tetapi tidak sewaktu babak pertama sehingga membenarkan Pulau Pinang mendapat jaringan,'' tambah beliau.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KBm3hWIe © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan