ARKIB : 30/07/1998
KEMENANGAN tipis 1-0 ke atas
Perak sekadar membayangkan kehandalannya sedangkan untuk bergelar ''jaguh,''
mungkin terlalu sukar buat Pulau Pinang sekiranya masih mempamerkan aksi hambar
seperti dipersembahkan dalam perlawanan Liga Perdana Satu, di Stadium Bandaraya,
kelmarin.
ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
melaporkan, dengan mengumpul 38 mata selepas kemenangan kelmarin, hanya
ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Pahang, Pulau Pinang belum
boleh berbangga.
Ini kerana Pulau Pinang akan
berdepan Selangor di Stadium Shah Alam yang sudah memalukan Negeri Sembilan
apabila tewas 4-0, manakala Pahang pula menghadapi cabaran Brunei, juga di
gelanggang lawan.
Kemenangan ke atas Selangor
penting untuk menjayakan 'misi mustahil' Pulau Pinang, mencipta sejarah meraih
kejuaraan pertama liga, dengan harapan Pahang kalah atau seri dengan Brunei.
Jika Pahang menang ke atas
Brunei, apa juga keputusan di Stadium Shah Alam tidak mampu menghalang skuad
Tok Gajah daripada menjulang piala liga musim ini.
Bagaimanapun, kemenangan ke
atas Perak membayangkan betapa Pulau Pinang menghadapi laluan sukar di Stadium
Shah Alam sekalipun tonggaknya, Domi Che Non dapat beraksi selepas menjalani
pergantungan permainan.
Pulau Pinang menang ke atas
Perak, tetapi corak permainan yang ditunjukkan belum berhak untuk mewajarkannya
bergelar juara liga.
Nasihat ini bukannya daripada
penyokong atau mereka kurang arif tentang bola sepak, tetapi pakar taktikal
iaitu jurulatih Perak sendiri, Karl Heinz Weigang yang ikhlas mahukan Pulau
Pinang mengubah corak permainan jika ingin menjadi juara.
''Tahniah kerana kemenangan ke
atas Perak tetapi ikhlas saya katakan, Pulau Pinang tidak mampu menjadi juara
jika beraksi seperti malam ini (kelmarin),'' kata beliau sebaik tamat
perlawanan Liga Perdana Satu, di Stadium Bandaraya.
Kata beliau, hanya sedikit
nasib menyebelahi Pulau Pinang akibat kesilapan pemain pertahanan, Khairul
Anuar Baharom yang gagal membayangi Merzagua sehingga berjaya menanduk jaringan
tunggal.
Sehubungan itu, kata Weigang,
Pulau Pinang perlu mengubah corak permainan di samping pemain-pemain memberikan
komitmen yang tinggi untuk memastikan kejuaraan menajdi milik mereka.
Mengenai kekalahan Perak,
Weigang berkata, 'anak-anak buahnya' gagal disebabkan hanya ''beraksi'' dalam
separuh masa pertama sedangkan bola sepak memerlukan komitmen sehingga tamat
permainan iaitu selamam 90 minit.
''Pemain perlu menerima hakikat
kekalahan ini disebabkan mereka hanya bermain dengan baik dalam separuh masa
kedua, tetapi tidak sewaktu babak pertama sehingga membenarkan Pulau Pinang
mendapat jaringan,'' tambah beliau.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KBm3hWIe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan