Jumaat, 2 September 2016

Merzagua hampakan Sarawak


ARKIB : 15/04/1998
Merzagua hampakan Sarawak
TANDUKAN emas Merzagua Abderrazak Pulau Pinang lima minit sebelum tamat permainan menjadi penyelamat untuk mereka berkongsi mata 1-1 dengan Sarawak dalam perlawanan bola Perdana Satu di Stadium Sarawak, Kuching malam tadi, lapor KHAIRUDDIN MOHD. AMIN.

Sarawak yang mendapat gol seawal minit ke tiga menerusi sepakan penalti ketua pasukannya, Billy Bone bagaimanapun gagal mengambil kesempatan kelebihan itu untuk menambahkan jaringan.

Gol berpunca daripada gerakan cantik Ramos Sari yang cuba membawa bola ke arah pintu gol setelah menerima hantaran Alistair Edwards.

Menyedari kelincahan ketua pasukan Sarawak, Mohd. Zaidi menjatuhkannya dalam petak penalti bagi menghalang Billy berdepan dengan penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail. Pengadil Mustaq Khan dengan tidak teragak-agak menunjukkan ke arah sepakan penalti.

Terkejut dengan gol awal itu skuad Harimau Kumbang mula memperkemaskan jentera serangan dengan beberapa gerakan menarik yang mencemaskan penonton tuan rumah.

Usaha Pulau Pinang itu hampir berjaya menyamakan kedudukan dua minit selepas itu apabila tendangan Merzagua melepasi palang gol setelah mendapat umpanan lambung daripada Ng Kok Heng dan serangan terus bertukar ganti selepas itu sehingga wisel rehat direhatkan.

Sarawak hampir dapat menjarakkan jaringan sembilan minit selepas permainan disambung semula apabila Alistair menanduk kencang ke arah gol tetapi Mohd. Zaidi menjadi penghalang.

Pada minit ke-61 Sarawak sekali lagi mendapat peluang keemasan apabila percubaan Alistair ditampan oleh Ahmad Sobri manakala tendangan Bobby Pian dihalang oleh pertahanan Pulau Pinang.

Tujuh minit selepas itu Ramos sekali lagi memukau penonton dengan larian solonya menggelecek beberapa pertahanan Pulau Pinang bagaimanapun tolakan ke belakang ke pada Bobby Pian tidak dimanfaatkan oleh pemain itu apabila tendangannya melambung tinggi walaupun hanya perlu menewaskan penjaga gol.

Permainan terus menjadi rancak dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan dan pada minit ke-85 Marzagua menghampakan Sarawak yang sudah hampir pasti menggenggam tiga mata apabila tandukannya menyentuh jaring menewaskan penjaga gol Mazlan Wahid untuk menjadi wora pasukkannya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4J9eGfwth © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan