ARKIB : 18/04/1998
P. Pinang digeruni
BERSANDARKAN mimpi, juara
seharusnya milik skuad gergasi namun berpegang kepada realiti, segalanya masih
belum pasti sebaliknya menambahkan lagi keghairahan Perdana Satu, malam ini.
Jika berbekalkan reputasi
selaku juara Piala Malaysia 1997, Selangor pasti menghadapi laluan mudah untuk
menewaskan Pulau Pinang sekalipun beraksi di gelanggang lawan.
Namun, dalam musim baru, impian
manis seharusnya berlalu buat Selangor untuk menghadapi Pulau Pinang yang tahun
ini paling mantap menerusi gandingan pemain handalan, penjaga gol, Ahmad Sobri
Ismail, Chee Wan Hoe, Zaidi Mat Ail dan Fauzi Soh.
Rekod tanpa kalah Pulau Pinang
dalam tiga perlawanan lalu mengundang gerun Selangor, apatah lagi selepas
menyaksikan betapa garang Harimau Kumbang membelasah Negeri Sembilan 3-0 di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Rumusannya cukup mudah, jika di
gelanggang lawan, Selangor tewas 1-3 kepada Sarawak, bagaimana pula Pulau
Pinang mampu mengikat kemaraan skuad Kenyalang menerusi keputusan seri 1-1 di
stadium yang sama.
Walaupun kembali bangkit
menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan pilihan Pahang, Red Giants tidak
mahu menganggap mudah pertemuan dengan Pulau Pinang dalam saingan yang dijangka
sengit.
Kekuatan Selangor pastinya
diletak di bahu penyerang Azman Adnan mana kala benteng kebalnya masih
mempertaruhkan Mehmet Durakovic, Jeff Hopkins dan Zainal Abidin Hassan.
Keghairahan Pulau Pinang berada
di tangga kedua carta Perdana Satu selepas mengumpul tujuh mata pasti
merisaukan Perak, penghuni tempat teratas dengan kedudukan mata yang sama
tetapi mempunyai kelebihan jaringan.
Dengan Kedah menjadi tetamu di
Stadium Perak, ''Seladang'' begitu dahagakan kemenangan untuk menambah koleksi
jaringan penyerang dari Hungary, Lazslo Repasi buat merealisasikan impian untuk
menerima sekali lagi anugerah ''kasut emas'' seperti dimenangi musim lalu.
Lawannya Kedah pula, selepas
dimalukan Perlis menerusi kekalahan 1-4 dan terikat seri tanpa jaringan dengan
skuad Olimpik 2000 pastinya cuba bangkit mencari sedikit penawar dengan
mempamerkan kesungguhan bertemu Perak.
Pahang turut menghadapi
tentangan sengit Brunei di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, gelanggang paling
ditakuti lawan kerana sering menyemarakkan semangat ''luar biasa'' pasukan
negara minyak itu.
Di sebalik semangat tinggi
menggunung, Brunei turut cemas untuk melayani kerenah Pahang yang menggandingkan
Azizul Kamaluddin dengan penyerang lincah dari Rusia, Vachislav Melnikov.
Kuala Lumpur pula mungkin
bertuah beraksi di gelanggang sendiri di Cheras tetapi masih belum tahu untung
nasibnya disebabkan lawan bakal dihadapi adalah Sarawak.
Selaku juara baru Sumbangsih
setelah mengatasi Selangor 3-1, Sarawak berharapkan kemenangan untuk
mengukirkan kembali senyuman jurulatih Alan Vest yang begitu berang selepas
pasukannya tewas 1-2 kepada Pahang.
Begitu juga Perlis, kesalahan
besar akibat kekalahan 0-4 kepada Negeri Sembilan mungkin tidak dapat diampun
jika masih gagal ditebus dalam perlawanan menentang Sabah di di Stadium Utama,
Kangar, malam ini.
Jelas sekali, walaupun sekadar
memasuki empat perlawanan malam ini, aksi terbaik cuba ditonjolkan 12 pasukan
yang mahu memperbaiki kedudukan bagi menambahkan kehangatan Perdana Satu.
Oleh: ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JBLk38Aj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan