Isnin, 12 September 2016

Pulau Pinang kejutkan Pahang

ARKIB : 05/07/1998
PENDAHULU liga, Pahang tumpas mengejut 2-0 kepada Pulau Pinang dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Penyerang Domi Che Non dan Nordin Khamis menjadi pemusnah skuad Tok Gajah dengan jaringan masing-masing pada minit ke-35 dan 42.

Domi yang menerima hantaran S. Nanthakumar tidak teragak-agak untuk melepaskan tendangan kencang yang mengecewakan penjaga gol Pahang, Mudzar Mohamad.

Begitupun, Pahang mencemaskan barisan pertahanan tuan rumah apabila Melnikov Viatcheslav yang membawa bola secara solo melepaskan tendangan kencang tetapi rembatannya melewati palang gol.

Persembahan hambar pasukan pelawat memudahkan Pulau Pinang untuk melengkapkan kemenangan menerusi Nordin yang menendang masuk bola selepas percubaan awal Merzagua Abberazak terkena pemain lawan pada minit ke-86.

Begitupun, kekalahan Pahang tidak menggugat kedudukannya selaku pendahulu liga dengan mengumpul 32 mata berbanding Pulau Pinang di tangga kedua dengan 28 mata.

Sementara itu di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata apabila terikat 2-2 dengan Brunei.

Zam Zam Abu Bakar menjadi penyelamat Kedah untuk mengutip satu mata menerusi jaringannya pada minit ke-56 selepas Kedah ketinggalan 1-2 pada separuh masa pertama.

Satu lagi gol Kedah dijaringkan oleh Carlos Roberio pada minit ke-24 manakala dua gol Brunei disumbangkan oleh Ak Sallehuddin Pengiran Damit pada minit ke-18 dan Rosli Liman minit ke-34.

Pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah dengan gol pertama menerusi tandukan Ak Sallehuddin selepas menerima hantaran dari Akapo.

Kenari menyamakan kedudukan enam minit selepas itu menerusi tandukan pemain import dari Brazil, Carlos Roberio hasil sepakan percuma yang diambil Khamal Idris Ali.

Brunei kembali di depan sepuluh minit kemudian melalui tandukan kencang Rosli Liman selepas mendapat hantaran bola tinggi daripada Fadlin Gelawat.

Kedah sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke 56 melalui Zam Zam yang menolak bola ke gawang selepas berlaku pergelutan di depan pintu gol.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan warga kota terus mengejutkan juara Piala Malaysia, Selangor dengan kemenangan 2-0.

Sentuhan penyerang Meor Nor Shamsul Kamal semakin berbisa apabila membuka jaringan pada minit ke-15 manakala K. Nanthakumar mengesahkan kemenangan menerusi jaringan pada minit ke-63.

Kemenangan itu mengulangi kejayaan Kuala Lumpur ke atas Selangor yang sebelum ini tewas kepada pasukan warga kota itu pada perlawanan pertama Piala FA di stadium sama.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah menang 2-1 ke atas N. Sembilan dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh pemain import mereka.

Laszlo Repasi menjaringkan gol penyamaan Perak pada minit ke-85 dan Noel Kipre pula menyumbatkan gol kemenangan pada minit ke-87.

Negeri Sembilan mendahului Perak melalui jaringan Norisham Ismail pada minit ketujuh.

Kemenangan tersebut membolehkan Perak mengumpul 19 mata daripada 16 perlawanan yang dilaluinya.

Negeri Sembilan menembusi kubu pasukan tuan rumah melalui tendangan deras Norisham Ismail pada minit ke-15 menumpaskan penjaga gol Perak, Zamri Mat Arif.

Perak menghasilkan gol penyamaan apabila Repasi berjaya mengatasi penjaga gol gantian Negeri Sembilan, Othman Katmon.

Hantaran cantik daripada Repasi telah disempurnakan oleh Noel Kipre ke dalam jaring Negeri Sembilan bagi gol kemenangan Perak pada minit ke-87.

Di Stadium Utama, Kangar, pasukan tuan rumah Perlis tewas 2-1 kepada Sarawak.

Billy Bone membuka jaringan pasukan pelawat pada minit ke-17 tetapi Perlis menyamakan kedudukan lapan minit sebelum waktu rehat.

Sarawak memperoleh jaringan kemenangan menerusi bintang importnya, Alistair Edward empat minit selepas babak kedua bermula.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4K2TBOwDb © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan