ARKIB : 05/07/1998
PENDAHULU liga, Pahang tumpas
mengejut 2-0 kepada Pulau Pinang dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu
di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Penyerang Domi Che Non dan
Nordin Khamis menjadi pemusnah skuad Tok Gajah dengan jaringan masing-masing
pada minit ke-35 dan 42.
Domi yang menerima hantaran S.
Nanthakumar tidak teragak-agak untuk melepaskan tendangan kencang yang
mengecewakan penjaga gol Pahang, Mudzar Mohamad.
Begitupun, Pahang mencemaskan
barisan pertahanan tuan rumah apabila Melnikov Viatcheslav yang membawa bola
secara solo melepaskan tendangan kencang tetapi rembatannya melewati palang
gol.
Persembahan hambar pasukan
pelawat memudahkan Pulau Pinang untuk melengkapkan kemenangan menerusi Nordin
yang menendang masuk bola selepas percubaan awal Merzagua Abberazak terkena
pemain lawan pada minit ke-86.
Begitupun, kekalahan Pahang
tidak menggugat kedudukannya selaku pendahulu liga dengan mengumpul 32 mata
berbanding Pulau Pinang di tangga kedua dengan 28 mata.
Sementara itu di Stadium
Darulaman, Alor Setar, Kedah terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata
apabila terikat 2-2 dengan Brunei.
Zam Zam Abu Bakar menjadi
penyelamat Kedah untuk mengutip satu mata menerusi jaringannya pada minit ke-56
selepas Kedah ketinggalan 1-2 pada separuh masa pertama.
Satu lagi gol Kedah dijaringkan
oleh Carlos Roberio pada minit ke-24 manakala dua gol Brunei disumbangkan oleh
Ak Sallehuddin Pengiran Damit pada minit ke-18 dan Rosli Liman minit ke-34.
Pasukan pelawat mengejutkan
tuan rumah dengan gol pertama menerusi tandukan Ak Sallehuddin selepas menerima
hantaran dari Akapo.
Kenari menyamakan kedudukan
enam minit selepas itu menerusi tandukan pemain import dari Brazil, Carlos
Roberio hasil sepakan percuma yang diambil Khamal Idris Ali.
Brunei kembali di depan sepuluh
minit kemudian melalui tandukan kencang Rosli Liman selepas mendapat hantaran
bola tinggi daripada Fadlin Gelawat.
Kedah sekali lagi menyamakan
kedudukan pada minit ke 56 melalui Zam Zam yang menolak bola ke gawang selepas
berlaku pergelutan di depan pintu gol.
Di Stadium Bola Sepak Kuala
Lumpur, Cheras, pasukan warga kota terus mengejutkan juara Piala Malaysia,
Selangor dengan kemenangan 2-0.
Sentuhan penyerang Meor Nor
Shamsul Kamal semakin berbisa apabila membuka jaringan pada minit ke-15
manakala K. Nanthakumar mengesahkan kemenangan menerusi jaringan pada minit
ke-63.
Kemenangan itu mengulangi
kejayaan Kuala Lumpur ke atas Selangor yang sebelum ini tewas kepada pasukan
warga kota itu pada perlawanan pertama Piala FA di stadium sama.
Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan
tuan rumah menang 2-1 ke atas N. Sembilan dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh
pemain import mereka.
Laszlo Repasi menjaringkan gol
penyamaan Perak pada minit ke-85 dan Noel Kipre pula menyumbatkan gol
kemenangan pada minit ke-87.
Negeri Sembilan mendahului
Perak melalui jaringan Norisham Ismail pada minit ketujuh.
Kemenangan tersebut membolehkan
Perak mengumpul 19 mata daripada 16 perlawanan yang dilaluinya.
Negeri Sembilan menembusi kubu
pasukan tuan rumah melalui tendangan deras Norisham Ismail pada minit ke-15
menumpaskan penjaga gol Perak, Zamri Mat Arif.
Perak menghasilkan gol
penyamaan apabila Repasi berjaya mengatasi penjaga gol gantian Negeri Sembilan,
Othman Katmon.
Hantaran cantik daripada Repasi
telah disempurnakan oleh Noel Kipre ke dalam jaring Negeri Sembilan bagi gol
kemenangan Perak pada minit ke-87.
Di Stadium Utama, Kangar,
pasukan tuan rumah Perlis tewas 2-1 kepada Sarawak.
Billy Bone membuka jaringan
pasukan pelawat pada minit ke-17 tetapi Perlis menyamakan kedudukan lapan minit
sebelum waktu rehat.
Sarawak memperoleh jaringan
kemenangan menerusi bintang importnya, Alistair Edward empat minit selepas
babak kedua bermula.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4K2TBOwDb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan