Sabtu, 5 November 2016

FAP tidak bercadang pikat Azman

ARKIB : 13/10/1998
PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) belum bercadang ''memikat'' mana-mana tonggak handalan tempatan termasuk Azman Adnan yang menjadi rebutan kebanyakan pasukan negeri selepas berakhir khidmat pemain import dalam Liga Malaysia, musim depan, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan khidmat pemain import tidak boleh digunakan pada tahun depan bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh persatuan-persatuan bola sepak negeri berikutan kegawatan ekonomi, FAP masih belum mengambil sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

Timbalan Presiden FAP, Datuk Dr. Ibrahim Saad, memberitahu, pihaknya belum memberi kata putus sama ada mahu mendapatkan khidmat pemain handalan seperti Azman Adnan bagi menggantikan penyerang importnya.

Pulau Pinang kini mempunyai tiga pemain import, Balla Modou Conde (Guinea), Merzagua Abderrazzak (Maghribi) dan Riyad Abbas (Iraq).

''Biarkan negeri lain memburu Azman kerana kita buat masa ini mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada persaingan merebut Piala Malaysia.

''Ini bukannya bermakna Pulau Pinang langsung tidak mahukan pemain handalan seperti Azman, cuma buat masa ini kita belum memikirkannya lagi,'' kata beliau ketika dihubungi semalam.

Azman yang sebelum ini begitu sukar untuk direbut beberapa pasukan kerana tidak dilepaskan oleh Selangor, kini ''bebas'' selepas kontraknya tidak lagi disambung skuad ''Red Giants.''

Perebutan mendapatkan Azman pernah menimbulkan kontroversi antara Negeri Sembilan dengan Selangor pada musim lalu.

Pada waktu, Azman yang mulanya dijadualkan menandatangani kontrak dengan Negeri Sembilan tiba-tiba mengubah fikiran sebaliknya mengikat kontrak dengan Selangor.

Kehadiran Azman bagaimanapun gagal membantu Selangor untuk merebut kejuaraan liga. Malah Selangor gagal menempatkan diri dalam persaingan Piala Malaysia.

Selangor yang pernah menjuarai Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut sejak 1995, akhirnya mengambil keputusan drastik dengan menggugurkan Azman bersama-sama Shahril Arsat, Azlisham Ibrahim, Asmawi Bakiri, K. Gunalan, Amali Amir, Mohamad Gadaafi Mohd Karim dan Hairil Zamri Rashid.

''Begitu juga lain-lain pemain (Selangor), FAP masih belum membuat sebarang keputusan walaupun terdapat pasukan negeri sedang bersaing merebut mereka,'' kata beliau.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4P6gunEPu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan