Ahad, 6 November 2016

Juara Liga kini tertekan

ARKIB : 04/11/1998
Juara Liga kini tertekan
KEDUDUKAN juara Perdana Satu, Pulau Pinang ibarat nyawa di hujung pedang biarpun mudah menjinakkan Kuala Lumpur 3-1 dalam perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras malam tadi.

Tiga gol menerusi Merzagua Abderazzak (m-21), Riyadh Abbas (m-30) dan G. Shanmugam (m-48) belum lagi menjamin kedudukan Pulau Pinang selesa ke separuh akhir ketika saingan terdekat Negeri Sembilan menewaskan Kedah 3-2 di Stadium Darulaman.

Pulau Pinang sekadar mengutip 10 mata berbaki satu perlawanan manakala Negeri Sembilan hasil kemenangan ke atas Kedah mengutip 13 mata berkongsi dengan Terengganu yang tidak beraksi tetapi memiliki kelebihan dua permainan.

Kini skuad Pulau Mutiara perlu menewaskan Terengganu dalam perlawanan terakhir di gelanggang sendiri sambil mengharapkan Negeri Sembilan turut tewas dalam perlawanan yang lain.

Buat Kuala Lumpur turut berdepan nasib yang sama dengan Pulau Pinang mengharapkan dua perlawanan lagi bakal memihak kepada mereka untuk mencipta kemenangan.

Hujan lebat yang turun sebelum perlawanan bermula langsung tidak menjejaskan rentak permainan rancak kedua-dua pasukan.

Kuala Lumpur mendapat peluang mencemaskan benteng lawan namun Mior Nor Shamsul sekadar melepaskan rembatan liar tidak menepati sasaran pada minit ke-15.

Ancaman berterusan mengancam pertahanan pelawat yang dikemudi oleh Balla Modou Conde, larian deras G. Muthu mengelecek beberapa pemain lawan namun sepakannya sekadar melintasi depan pintu gol.

Pulau Pinang melakukan serangan pantas Yong Woon Seang membuat hantaran cantik tepat ke Merzagua yang terlebih dahulu mengelecek pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Azmin Azram pada minit ke-21.

Belumpun sempat skuad wargakota mengatur gerakan mencari gol merapatkan jurang kekebalan Azmin tercabar lagi.

Giliran Riyadh Abbas meledakkan rembatan cantik dari luar kotak penalti melihat bola terus menerjah jaring dan gagal diselamatkan oleh Azmin pada minit ke-30.

Tiba minit babak kedua bermula Pulau Pinang memperkukuhkan kedudukan apabila G. Shanmugam tidak mensia-siakan hantaran lambung Merzagua untuk menyepak masuk menewaskan Azmin buat kali ketiga.

Pada minit ke-54, Kuala Lumpur bangkit merapatkan jurang apabila bekas pemain skuad Olimpik 2000, Azmir Nor Hakim menolak mudah gol pertama menewaskan Ahmad Sabri Ismail.

Oleh: AMRAN MULUP

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4PDOLC5E5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan