ARKIB : 29/03/1999
PENDAHULU bola sepak Liga
Perdana Satu, Pulau Pinang sudah menyediakan resepi terbaik untuk mengatasi
cabaran Kuala Lumpur apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium KLFA, Cheras,
esok.
Begitupun, skuad Harimau
Kumbang menyedari barisan warga kota agak sukar ditenggelamkan berdasarkan
hakikat kedua-dua pasukan hanya dipisahkan satu mata.
Jurulatih Pulau Pinang, Moey
Yok Ham awal-awal lagi memberi amaran kepada anak buahnya agar berwaspada
dengan peningkatan yang ditunjukkan Kuala Lumpur dengan keputusan terbaru
menewaskan Brunei 4-3 dalam masa penuh permainan.
''Kejayaan Kuala Lumpur
menewaskan Brunei 4-3 dalam perlawanan masa penuh perlawanan membuktikan mereka
tidak boleh diperkecilkan.
''Saya tahu jurulatih Kuala
Lumpur, Mat Zan Mat Aris mampu mempelbagaikan corak permainan untuk menghadapi
kami,'' ujar Moey Yok Ham baru-baru ini.
Hakikatnya, ketiadaan Selangor
yang terperosok ke Perdana Dua, pasti memberi kelebihan buat Kuala Lumpur merampas
gelaran 'Gergasi Lembah Klang' untuk terus membuktikan kehebatannya bersama
gandingan baru, musim ini.
''Sekalipun tanpa bintang
ternama, Kuala Lumpur yang menurunkan muka-muka baru telah berjaya memenangi
perlawanan pembuka tirai liga di gelanggang lawan terutama sekali Brunei di
Bandar Seri Begawan yang dianggap sebagai pasukan pilihan merupakan satu
kejayaan,'' ujarnya lagi.
Moey Yok Ham turut mengimbas
pengalaman Pulau Pinang sebagai pasukan 'kerdil' sebelum menjulang juara liga
musim lalu.
''Kita tahu bagaimana pasukan
bukan pilihan boleh melakukan upset kerana kami juga dahulu boleh memberi
kejutan kepada pasukan-pasukan pilihan,'' ujarnya.
Mat Zan Mat Aris yang kini
membimbing skuad warga kota pula sudah pasti tidak mahu mengulangi kekalahan di
gelanggang sendiri.
Kakalahan Kuala Lumpur menerusi
tendangan penalti kepada pasukan pelawat, Sarawak 5-4 setelah kedua-dua pasukan
terikat 1-1 dalam masa penuh perlawanan cukup menjadi pengajaran.
Begipun mereka mendapat satu
mata sagu hati untuk melengkapkan empat mata di tangga kedua, sambil menjadi
pencabar terdekat Harimau Kumbang dengan lima mata keseluruhan.
Mengulas kekalahan itu, Mat Zan
menyifatkan ia berpunca dari keletihan pemain selepas berhempas pulas
menewaskan Brunei di gelanggang lawan.
''Selain keletihan dan tidak
memberi prestasi seratus peratus ramai pemain jadi takut secara tiba-tiba untuk
mengambil sepakan penalti ketika menentukan kemenangan tambahan satu mata
lagi,'' ujar Mat Zan selepas pasukannya tewas kepada Sarawak akibat penentuan
penalti.
Begitupun, kekuatan barisan
muda Kuala Lumpur pastinya pulih selepas berehat hampir seminggu, termasuk
sambutan Hari Raya Aidiladha.
Mat Zan sudah mengharapkan
gandingan penyerang mudanya, Mohd. Farid Dewan dan Mohd. Nizaruddin Yusuf untuk
mengejar impian kemenangan berikutnya.
Kedua-dua pemain berjaya
mencipta banyak peluang pada pertemuan dengan Sarawak, sekali pun gagal
melakukan penyudah.
Barisan pertahanan Pulau Pinang
yang ketuai oleh bekas penjaga gol Selangor, Azlisham Ibrahim sudah pasti
tergugat sekiranya Farid dan Nizaruddin mendapat kembali prestasi mereka ketika
membantu Kuala Lumpur membenam Brunei 4-3. Masing-masing menyumbangkan dua gol
pada perlawanan sulung itu.
Penjaring gol utama Pulau
Pinang, Azman Adnan sudah pasti ingin membuktikan sesuatu kepada peminat
tempatan kerana beliau mencipta dengan pasukan Kuala Lumpur sehingga dilamar
oleh Selangor dengan jumlah bayaran yang lumayan.
Di atas kertas ternyata juara
bertahan liga, Pulau Pinang dianggap memiliki kelebihan walaupun bertandang ke
gelanggang lawan. Mereka hanya kehilangan dua tonggak pemain import musim lalu
tetapi diperkukuhkan dengan kehadiran Azman dan rakan-rakan lain.
Apa pun, kemampuan pasukan bukan
pilihan, Kuala Lumpur semenangnya sukar diukur seperti yang diakui sendiri oleh
jurulatih Pulau Pinang, Moey Yok Ham.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ROvbS3zJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan