Selasa, 29 November 2016

P. Pinang sedia resipi terbaik tewaskan KL

ARKIB : 29/03/1999
PENDAHULU bola sepak Liga Perdana Satu, Pulau Pinang sudah menyediakan resepi terbaik untuk mengatasi cabaran Kuala Lumpur apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium KLFA, Cheras, esok.

Begitupun, skuad Harimau Kumbang menyedari barisan warga kota agak sukar ditenggelamkan berdasarkan hakikat kedua-dua pasukan hanya dipisahkan satu mata.

Jurulatih Pulau Pinang, Moey Yok Ham awal-awal lagi memberi amaran kepada anak buahnya agar berwaspada dengan peningkatan yang ditunjukkan Kuala Lumpur dengan keputusan terbaru menewaskan Brunei 4-3 dalam masa penuh permainan.

''Kejayaan Kuala Lumpur menewaskan Brunei 4-3 dalam perlawanan masa penuh perlawanan membuktikan mereka tidak boleh diperkecilkan.

''Saya tahu jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris mampu mempelbagaikan corak permainan untuk menghadapi kami,'' ujar Moey Yok Ham baru-baru ini.

Hakikatnya, ketiadaan Selangor yang terperosok ke Perdana Dua, pasti memberi kelebihan buat Kuala Lumpur merampas gelaran 'Gergasi Lembah Klang' untuk terus membuktikan kehebatannya bersama gandingan baru, musim ini.

''Sekalipun tanpa bintang ternama, Kuala Lumpur yang menurunkan muka-muka baru telah berjaya memenangi perlawanan pembuka tirai liga di gelanggang lawan terutama sekali Brunei di Bandar Seri Begawan yang dianggap sebagai pasukan pilihan merupakan satu kejayaan,'' ujarnya lagi.

Moey Yok Ham turut mengimbas pengalaman Pulau Pinang sebagai pasukan 'kerdil' sebelum menjulang juara liga musim lalu.

''Kita tahu bagaimana pasukan bukan pilihan boleh melakukan upset kerana kami juga dahulu boleh memberi kejutan kepada pasukan-pasukan pilihan,'' ujarnya.

Mat Zan Mat Aris yang kini membimbing skuad warga kota pula sudah pasti tidak mahu mengulangi kekalahan di gelanggang sendiri.

Kakalahan Kuala Lumpur menerusi tendangan penalti kepada pasukan pelawat, Sarawak 5-4 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa penuh perlawanan cukup menjadi pengajaran.

Begipun mereka mendapat satu mata sagu hati untuk melengkapkan empat mata di tangga kedua, sambil menjadi pencabar terdekat Harimau Kumbang dengan lima mata keseluruhan.

Mengulas kekalahan itu, Mat Zan menyifatkan ia berpunca dari keletihan pemain selepas berhempas pulas menewaskan Brunei di gelanggang lawan.

''Selain keletihan dan tidak memberi prestasi seratus peratus ramai pemain jadi takut secara tiba-tiba untuk mengambil sepakan penalti ketika menentukan kemenangan tambahan satu mata lagi,'' ujar Mat Zan selepas pasukannya tewas kepada Sarawak akibat penentuan penalti.

Begitupun, kekuatan barisan muda Kuala Lumpur pastinya pulih selepas berehat hampir seminggu, termasuk sambutan Hari Raya Aidiladha.

Mat Zan sudah mengharapkan gandingan penyerang mudanya, Mohd. Farid Dewan dan Mohd. Nizaruddin Yusuf untuk mengejar impian kemenangan berikutnya.

Kedua-dua pemain berjaya mencipta banyak peluang pada pertemuan dengan Sarawak, sekali pun gagal melakukan penyudah.

Barisan pertahanan Pulau Pinang yang ketuai oleh bekas penjaga gol Selangor, Azlisham Ibrahim sudah pasti tergugat sekiranya Farid dan Nizaruddin mendapat kembali prestasi mereka ketika membantu Kuala Lumpur membenam Brunei 4-3. Masing-masing menyumbangkan dua gol pada perlawanan sulung itu.

Penjaring gol utama Pulau Pinang, Azman Adnan sudah pasti ingin membuktikan sesuatu kepada peminat tempatan kerana beliau mencipta dengan pasukan Kuala Lumpur sehingga dilamar oleh Selangor dengan jumlah bayaran yang lumayan.

Di atas kertas ternyata juara bertahan liga, Pulau Pinang dianggap memiliki kelebihan walaupun bertandang ke gelanggang lawan. Mereka hanya kehilangan dua tonggak pemain import musim lalu tetapi diperkukuhkan dengan kehadiran Azman dan rakan-rakan lain.

Apa pun, kemampuan pasukan bukan pilihan, Kuala Lumpur semenangnya sukar diukur seperti yang diakui sendiri oleh jurulatih Pulau Pinang, Moey Yok Ham.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ROvbS3zJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan