Selasa, 29 November 2016

Pulau Pinang semakin ghairah

ARKIB : 11/04/1999
PEMBURUAN mata penuh terhasil buat Pulau Pinang untuk terus mengungguli carta bola sepak Liga Perdana Satu menerusi kemenangan 2-1 ke atas Sabah di Stadium Bandaraya, semalam.

Selepas menewaskan Kedah 1-0, Pulau Pinang memastikan tempoh 90 minit menjadi miliknya di depan 6,000 penonton di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, Sabah membuat kejutan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi Harun Laban sebelum pemain tuan rumah Hasmawi Hassan menyumbat gol minit ke-39, diikuti jaringan Azman Adnan pada minit ke-72.

Permulaan babak pertama gagal menyajikan aksi memberangsangkan daripada kedua-dua pasukan. Pulau Pinang yang menurunkan Hasmawi gagal menemui sentuhan sekali pun begitu serasi bergandingan dengan penyerang berbisa Azman Adnan.

Sabah yang lebih bersandarkan kepada penyerang David Rocastle untuk menyengat di barisan depan skuad pelawat. Namun dalam kehambaran aksi, Sabah mencipta peluang terbaik bermula dengan sepakan Rizal Abang Jad terkena palang gol Pulau Pinang.

Bola yang melantun kemudiannya disepak lemah oleh Harun ke penjuru gawang Pulau Pinang tetapi penjaga gol Azlisham Ibrahim gagal menyelamatkan jaringan minit ke-21.

Tanpa menunggu lama, Pulau Pinang menyamakan kedudukan dengan gerakan hampir sama seperti Sabah.

Sepakan R. Suresh Kumar terkena tiang gol Sabah yang kemudiannya menyaksikan bola melantun untuk Hasmawi yang menyepak mudah menewaskan Khairul Azman Mohamad pada minit ke-39.

Kedudukan 1-1 merancakkan lagi permainan yang mencetuskan pertelingkahan di tengah padang sehingga menyebabkan Rocastle dilayangkan kad kuning oleh pengadil Ishak Ismail sebelum berakhir babak pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Pulau Pinang banyak melakukan gerakan pantas dengan Azman memperoleh dua peluang terbaik.

Dalam satu pergelutan di depan pintu gol Sabah, tendangan kencang Azman ditepis penjaga gawang Khairul Azman pada minit ke-46 sebelum tendangan kali keduanya melepasi palang seminit kemudian.

Sabah pula kembali mengancam tetapi rembatan jarak 30 meter Jainin Tinin ditepis Azlisham pada minit ke-56.

Selepas beberapa kali percubaan, Ooi Hoe Guan melakukan rembatan cantik yang menyaksikan Khairul gagal menangkap kemas untuk Azman merembat masuk jaringan minit ke-72.

PULAU PINANG: Azlisham Ibrahim, Moey Kok Hong, V. Thinagaran, Chee Wan Hoe, Yong Woon Seang, Asmawi Bakiri, Ooi Hoe Guan, R. Suresh Kumar (Nordin Khamis), Fauzi Soh (Wong Kah Loon), Hasmawi Hassan, Azman Adnan.

SABAH: Khairul Azman Mohamad, Jainin Tinin (Yap Wai Loon), Burhan Ajui, Veselin Kovacevic, Madzalan Emoi (Gapor Mohamad), Dunian Sulog, Rizal Abang Jad, Harun Laban, Hendry Saimpon, Jelius Ating, David Rocastle.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RTId64HJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan