ARKIB : 11/04/1999
PEMBURUAN mata penuh terhasil
buat Pulau Pinang untuk terus mengungguli carta bola sepak Liga Perdana Satu
menerusi kemenangan 2-1 ke atas Sabah di Stadium Bandaraya, semalam.
Selepas menewaskan Kedah 1-0,
Pulau Pinang memastikan tempoh 90 minit menjadi miliknya di depan 6,000
penonton di gelanggang sendiri.
Bagaimanapun, Sabah membuat
kejutan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi Harun Laban
sebelum pemain tuan rumah Hasmawi Hassan menyumbat gol minit ke-39, diikuti
jaringan Azman Adnan pada minit ke-72.
Permulaan babak pertama gagal
menyajikan aksi memberangsangkan daripada kedua-dua pasukan. Pulau Pinang yang
menurunkan Hasmawi gagal menemui sentuhan sekali pun begitu serasi bergandingan
dengan penyerang berbisa Azman Adnan.
Sabah yang lebih bersandarkan
kepada penyerang David Rocastle untuk menyengat di barisan depan skuad pelawat.
Namun dalam kehambaran aksi, Sabah mencipta peluang terbaik bermula dengan
sepakan Rizal Abang Jad terkena palang gol Pulau Pinang.
Bola yang melantun kemudiannya
disepak lemah oleh Harun ke penjuru gawang Pulau Pinang tetapi penjaga gol
Azlisham Ibrahim gagal menyelamatkan jaringan minit ke-21.
Tanpa menunggu lama, Pulau
Pinang menyamakan kedudukan dengan gerakan hampir sama seperti Sabah.
Sepakan R. Suresh Kumar terkena
tiang gol Sabah yang kemudiannya menyaksikan bola melantun untuk Hasmawi yang
menyepak mudah menewaskan Khairul Azman Mohamad pada minit ke-39.
Kedudukan 1-1 merancakkan lagi
permainan yang mencetuskan pertelingkahan di tengah padang sehingga menyebabkan
Rocastle dilayangkan kad kuning oleh pengadil Ishak Ismail sebelum berakhir
babak pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan
Pulau Pinang banyak melakukan gerakan pantas dengan Azman memperoleh dua
peluang terbaik.
Dalam satu pergelutan di depan
pintu gol Sabah, tendangan kencang Azman ditepis penjaga gawang Khairul Azman
pada minit ke-46 sebelum tendangan kali keduanya melepasi palang seminit
kemudian.
Sabah pula kembali mengancam
tetapi rembatan jarak 30 meter Jainin Tinin ditepis Azlisham pada minit ke-56.
Selepas beberapa kali
percubaan, Ooi Hoe Guan melakukan rembatan cantik yang menyaksikan Khairul
gagal menangkap kemas untuk Azman merembat masuk jaringan minit ke-72.
PULAU PINANG: Azlisham Ibrahim,
Moey Kok Hong, V. Thinagaran, Chee Wan Hoe, Yong Woon Seang, Asmawi Bakiri, Ooi
Hoe Guan, R. Suresh Kumar (Nordin Khamis), Fauzi Soh (Wong Kah Loon), Hasmawi
Hassan, Azman Adnan.
SABAH: Khairul Azman Mohamad,
Jainin Tinin (Yap Wai Loon), Burhan Ajui, Veselin Kovacevic, Madzalan Emoi
(Gapor Mohamad), Dunian Sulog, Rizal Abang Jad, Harun Laban, Hendry Saimpon,
Jelius Ating, David Rocastle.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RTId64HJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan