Khamis, 1 Disember 2016

Azman nyata lebih hebat

ARKIB : 19/04/1999
AKSI perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang kelmarin memperlihatkan kehebatan dua penyerang _ Azman Adnan dan Azizul Kamaluddin, tetapi kehebatan jelas menjadi milik pemain skuad Harimau Kumbang menerusi jaringan hatrik yang menewaskan Pahang 3-1.

Pertembungan antara dua pasukan handalan itu menjadi pilihan kerana kedua-duanya berada di tangga teratas. Di samping itu, Azman dan Azizul pula merupakan bekas penyerang kebangsaan yang dikatakan kembali menyinar musim ini.

Pastinya, penonton mahu menilai atau sekurang-kurangnya melihat sentuhan 'berbisa' kedua-dua penyerang berwibawa itu.

Yang menarik, perlawanan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang itu turut sama disaksikan jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.

Hajat penonton tercapai apabila Azman yang gagal menyempurnakan tendangan penalti di awal babak permainan membuktikan kehebatannya apabila memperoleh tiga jaringan buat pasukannya, Pulau Pinang.

Begitu juga Azizul, sekalipun dibayangi kehebatan Azman, selaku penyerang berwibawa, 'ayam tambatan' Pahang itu masih mampu memperlihatkan kemahirannya memperoleh jaringan tunggal untuk pasukannya.

Tidak hairan jika ada di kalangan penonton menyifatkan pertemuan antara Pulau Pinang dengan Pahang sebagai malam penuh aksi terutama apabila menyaksikan kewibawaan Azman.

Azman yang juga ketua pasukan Pulau Pinang ketika ditemui selepas perlawanan memberitahu, persembahan cemerlangnya itu berpunca daripada kegagalan menyempurnakan sepakan penalti.

''Selepas gagal sewaktu tendangan penalti, hati saya berkata bahawa kekecewaan hanya akan melemahkan saya. Sebab itulah saya segera berusaha melupakannya dan kembali menyemarakkan semangat mencari sebanyak jaringan untuk menebus kehampaan itu,'' katanya.

Ketika ditanya apakah kehadiran jurulatih kebangsaan Abdul Rahman turut menjadi penyumbang kepada prestasi cemerlangnya, Azman hanya berkata, sebelum beraksi, dia memberitahu kesemua pemain Pulau Pinang supaya menyifatkan pertemuan dengan Pahang sebagai perlawanan akhir.

Azman yang tidak menyentuh tentang prestasi terbaiknya dengan kehadiran Abdul Rahman, berkata, dia berharap dapat meneruskan keupayaan seperti diperlihatkannya untuk membantu Pulau Pinang mengekalkan piala Liga Perdana Satu di samping meraih kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RbNLamep © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan