ARKIB : 24/04/1999
BIARKAN aksi Piala FA berlalu
dengan penuh kejutan kerana perhatian lebih tertumpu kepada saingan getir Liga
Perdana Satu yang bersambung lagi malam ini.
Tentunya kekalahan 1-4 juara
Liga Perdana Satu 1998, Pulau Pinang kepada Terengganu dalam Piala FA bukan
ukuran sebenar skuad ''Harimau Kumbang'' yang hanya menurunkan ramai pemain
simpanannya.
Sebaliknya, perlawanan dengan
Perak dalam Liga Perdana Satu malam ini seharusnya menjadi detik pertemuan
menarik antara dua juara, juara Piala Malaysia dan Liga Perdana Satu.
Namun, jika kekalahan besar
Pulau Pinang kepada Terengganu menjadi ukuran, juara Piala Malaysia 1998, Perak
nampaknya tersilap langkah kerana barisan yang akan turun ternyata berbeza.
Pastinya, pencipta jaringan
hatrik sewaktu Pulau Pinang menewaskan Pahang 3-1, penyerang Azman Adnan
kembali menjadi ''duri dalam daging'' kepada ''sang Seladang'' di Stadium
Perak.
Dengan masih menjadi pendahulu
liga setakat ini selepas mengutip 17 mata, Pulau Pinang akan memastikan
kemenangan dalam tempoh 90 minit menjadi kenyataan untuk mencerahkan peluang
bagi mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Satu.
Tentunya, Azman yang tidak dapat
diturunkan dalam Piala FA kerana kecederaan, pulih untuk kembali ''menggempur''
tetapi pertahanan Perak masih teguh diterajui tonggak berpengalaman Roslan
Abdul Hamid.
Di Stadium Darulmakmur,
Kuantan, skuad ''Tok Gajah'' mahu menebus kekecewaan selepas ditewaskan Pulau
Pinang dengan memberikan tentangan sengit ke atas Kedah.
Kehampaan menyaksikan
kedudukannya di tangga kedua berubah ke tempat kelima dengan berbekalkan 12
mata menyemarakkan lagi semangat Pahang untuk memburu kemenangan.
Bagaimanapun, Pahang yang
memiliki penyerang berbisa Azizul Kamaluddin dan pemain muda Wan Rohaimi Ismail
sudaha tentu diuji kehebatan tonggak Kedah yang turut memiliki kelebihan
seperti penjaring terhebatnya, Ahmad Zalghafari Manaf.
Sementara, Sabah di tangga
tercorot mahu mengubah ''nasib'' dengan menjadikan Stadium Likas Medan untuk
memperbaikki kedudukannya apabila menghadapi Sarawak.
Di Pantai Timur, Terengganu
bersemangatkan kemenangan besar ke atas Pulau Pinang pasti lebih bersemangat
untuk menentang Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, skuad ''Penyu''
mungkin di sambar ''Helang'' sekiranya tidak berhati-hati dengan Kuala Lumpur,
barisan pemain muda yang sudah tentu ingin mengekalkan kedudukannya di tangga
kedua dengan mengumpul 13 mata setakat ini.
Begitu juga, pertemuan Negeri
Sembilan dengan Brunei tetap menarik dengan pelbagai aksi menghiburkan untuk
menghidupkan aksi bola sepak tanah air.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Rf3MXX6X
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan