ARKIB : 03/05/1999
PULAU Pinang kini perlu merumus
strategi terbaik selepas diaibkan Terengganu dengan kekalahan 0-1 walaupun
masih mampu menerajui bola sepak Liga Perdana Satu.
Kekalahan pencabar terdekat,
Kedah yang dikekang Perak dengan 1-2 di gelangang lawan nyata memberi kelebihan
buat skaud Harimau Kumbang yang hanya dibezakan dari segi jaringan dengan
negeri Sembilan.
Masing-masing kini berkongsi 18
mata, tetapi Pulau Pinang terselamat selepas menyumbat 10 gol dengan enam kali
gawangnya bolos, berbanding negeri sembilan dengan 14 jaringan dan 16 kali
bolos.
Jika Negeri Sembilan bukan
dianggap 'berbahaya' buat Pulau Pinang untuk terus menjadi pendahulu liga, maka
Pahang pastinya semakin hampir di tangga ketiga kini.
Kemenangan bergaya 5-1 ke atas
sabah sudah cukup untuk membuktikan hasrat skuad dari Pantai Timur ini untuk
memastikan juara milik mereka.
Dipisahkan dengan satu mata nampaknya
bukan masalah besar buat Pahang yang kelihatan lebih kukuh selepas mengumpul 18
jaringan dan hanya membenarkan gawang dibolosi 11 kali.
Dari tangga kelima, Pahang
terus melonjak dua anak tangga kepada tempat ketiga, suatu pencapaian yang agak
memberangsangkan lebih-lebih lagi apabila menafikan kehebatan penjaga gol
Sabah, Khairul Azman yang pernah disifatkan penjaga gawang terbaik negara.
Malah penyerang berbisa Tok
Gajah, Azizul Kamaluddin mungkin kini masih mengenangkan detik-detik bersejarah
pertemuan ini selepas berjaya mencipta hatrik pertamanya pada musim 1999
menerusi jaringan pada minit ke-42, 43 dan 74.
Kedah pula dirundung malang
apabila terperosok ke tangga keempat untuk mengambil alih kedudukan Sarawak
sebelum ini selepas kedudukan terbaiknya di tangga kedua dirampas pula oleh
Negeri Sembilan.
Berbekalkan 17 mata keseluruhan
hasil 10 perlawanan belum menjanjikan sesuatu yang terbaik buat mereka, malah
semakin menjarakkan kedudukan Kenari.
Kedah sekadar meraih tiga
kemenangan, lima kali seri dan tewas dua kali dengan menghasilkan 17 jaringan,
serta 11 kali pintu gol mereka dibolosi.
Sementara itu, Terengganu yang
seolah-olah menjadi badi kekal buat Pulau Pinang hanya meningkat satu anak
tangga di tempat kelima.
Terima kasih buat nasihat
jurulatih kebangsaan yang juga bekas jurulatih negeri skuad Penyu, Abdul Rahman
Ibrahim selaku pencetus utama semangat pemain, namun pastinya, itu hanya
sebahagian dorongan selain aksi hebat pemain sendiri untuk menggugat gawang
lawan.
Sarawak bagaikan sudah jatuh
ditimpa tangga selepas turun dua anak tangga dari kedudukan keempat kepada
keenam selepas impian mereka dileburkan negara skuad jiran, Brunei.
Mengumpul 15 mata menyukarkan
lagi buat Bujang Senang meneruskan kemaraan ke persada liga, tetapi tiada apa
yang mustahil dalam bola sepak.
Kuala Lumpur kini mengekori
rapat di belakang Sarawak dengan kekurangan satu mata selepas gagal memastikan
kemenangan ke atas Negeri Sembilan akibat sepakan penalti 2-4 apabila kedua-dua
pasukan terikat 1-1 dalam masa penuh permainan.
Kemenangan 2-1 ke atas Kedah
tidak menjanjikan ruang mudah buat skuad Seladang untuk meningkat secara
mendadak, apabila dikejar oleh Brunei yang berjaya menyelamatkan aib daripada
menghuni tangga tercorot.
Kedudukan paling bawah kini
bertukar milik kepada Sabah yang kecundang kepada Pahang 0-5 di gelanggang
lawan dan perlu bangkit membuang aib.
Sabah hanya mampu memenangi dua
pertemuan, tiga kali seri dan kalah lima kali setakat ini menerusi 10
perlawanan, bersama tujuh jaringan dan 13 kali dibolosi lawan.
Persaingan berikutnya selain
menentukan siapakah pendahulu liga berikutnya, juga bakal menjadi gelanggang
penentuan tentang pasukan mana paling wajar menghuni tangga tercorot.
Apa pun, fokus tetap kepada
pendahulu liga, Pulau Pinang yang kini terpaksa bekerja lebih keras
menyelamatkan maruah di depan penyokong sendiri apabila sekali lagi berdepan
skuad Penyu dalam Piala FA, esok.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RgLFA5HT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan