ARKIB : 04/05/1999
KESUKARAN bukan alasan
khususnya buat pasukan yang tewas dalam pusingan pertama Piala FA kerana
persaingan lebih perit sedang menanti malam ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.
Juara Liga Perdana Satu '98,
Pulau Pinang kini bagaikan 'harimau kumbang' yang terluka akibat kekalahan 1-4
kepada Terengganu dalam pusingan pertama, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah.
Pasti, 'anak-anak buah'
jurulatih Yunus Alif menghadapi tentangan sengit Pulau Pinang yang masih tidak
mahu mengaku kalah sekalipun tewas 1-4.
Jurulatih Moey Yok Ham pula
mahukan pemainnya berhempas pulas mengekang Terengganu daripada terus mencari
kemenangan di Stadium Bandaraya.
''Sekiranya Terengganu berjaya
mencari tiga jaringan di Kuala Terengganu, kenapa kita tidak boleh melakukannya
di stadium sendiri,'' kata Moey yang masih mengharapkan Pulau Pinang layak
beraksi dalam Piala FA sekalipun agak sukar.
Keperitan turut dirasakan
Selangor untuk menghadapi Pahang, pasukan yang menewaskan Red Giants 3-1 dalam
pusingan pertama di Stadium Darul Makmur.
Walaupun berbekalkan kelebihan
dua jaringan, Pahang sudah tentu mengharapkan rangkaian penyerang berbisanya,
Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail untuk terus menggempur Selangor.
Jika dua negeri berjiran di
Pantai Timur, Terengganu dan Pahang agak selesa, lain pula dengan empat
pasukan, Sarawak, Sabah, Melaka dan Kedah.
Sarawak hanya menang 1-0 ke
atas Perak untuk menyaksikan skuad 'Seladang' masih berkemampuan untuk bangkit
mencari kemenangan di gelanggang sendiri.
Perlawanan Liga Perdana Satu
boleh dijadikan contoh betapa, Perak yang tewas 1-4 kepada Kedah di Stadium
Darulaman secara tiba-tiba 'mengamuk' di gelanggang sendiri untuk mencipta
kemenangan 2-1.
Begitu juga dengan Melaka yang
belum begitu selamat selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 tetapi agak bernasib
baik kerana pusingan kedua membawa sedikit kelebihan kepada skuad 'Hang Tuah'
apabila beraksi di gelanggang sendiri.
Sabah juga mencipta kemenangan
tipis pusingan pertama sehingga mengundang saingan sengit di Stadium Utama yang
menjadi kubu kuat Perlis.
Di Stadium Darulaman, Kedah
perlu berwaspada bertemu Telekom Melaka selepas menewaskan pasukan bertaraf
kelab itu 2-1.
Bagaimanapun, empat pasukan -
Kelantan, Johor, Chempaka Negeri Sembilan dan Negeri Sembilan buntu mencari
jaringan untuk memilih malam ini sebagai penentu.
Kelantan menentang Johor di
Stadium Sultan Mohamed Ke-4 selepas terikat tanpa jaringan dalam saingan
pusingan pertama manakala pertalian dua 'saudara' terpaksa diketepikan
gara-gara pertembungan penting antara Chempaka Negeri Sembilan dan Negeri
Sembilan.
Kedudukan 2-2 antara Chempaka
NS - Negeri Sembilan membuka ruang untuk kedua-dua pasukan mencari kemenangan.
Soal gelanggang tidak boleh
dijadikan alasan kerana kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan beraksi di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RgUap8fo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan