ARKIB : 10/05/1999
PULAU Pinang memang berhak
dibenarkan menerajui liga di sebalik kemenangan tipis 4-3 dalam aksi bola sepak
Perdana Satu kelmarin tetapi pada masa yang sama, bahang ancaman Pahang dan
Kedah tidak boleh dipandang remeh lagi, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Kebangkitan Azman Adnan dan Ooi
Hoe Guan dengan tiga gol dalam masa tiga minit begitu mengagumkan, biarpun agak
terdesak untuk membantu Pulau Pinang pulih daripada rentetan kekalahan yang
menghantui kebelakangan ini.
Namun apabila Pahang pula
melangkah bergaya dengan membenam Sarawak 2-0 di Kuantan, masa untuk pemain
Pulau Pinang terlalu bergembira sebenarnya tidak perlu berpanjangan.
Ini kerana masalah kecederaan
buku lali Azman dibimbangi mampu berulang setelah bekerja keras memastikan
Pulau Pinang terus unggul di Stadium Bandaraya, kelmarin.
Brunei mungkin lawan yang
tenggelam timbul prestasinya tetapi kadangkala mampu menyengat dan pernah
mengejutkan Negeri Sembilan di Seremban musim ini.
Pahang turut tampil sebagai
pelawat esok dan menantinya ialah juara Piala Malaysia, Perak yang menghuni
tangga kedua tercorot liga.
Berbanding Pulau Pinang,
peluang skuad Tok Gajah meraih tiga mata sekali gus merampas teraju liga agak
cerah di Ipoh namun jika hasrat itu tidak menjadi, pertemuan Negeri
Sembilan-Kedah di Seremban mungkin boleh mencipta gambaran sebaliknya.
Negeri sudah dihampakan Pulau
Pinang 3-4 kelmarin dan sentuhan kecundang seterusnya cuma akan menolak skuad
Rusa itu menghampiri paras pertengahan kedudukan liga.
Kedah yang cuma menang penalti
dengan Terengganu sebaliknya sudah tentu enggan bertangguh lagi esok daripada
terus mengancam Pulau Pinang yang cuma dipisahkan dengan dua mata.
Manakala carta Perdana Dua
menyaksikan prestasi terumbang-ambing bekas gergasi Piala Malaysia, Selangor
walaupun masih unggul tanpa sebarang kekalahan selepas 11 perlawanan.
Namun anak buah Mike Pejic itu
boleh berharapkan perubahan positif hari ini apabila menilai kedudukan tercorot
TNB Kelantan _ pencabar mereka di Shah Alam nanti.
Johor FC berada dalam laluan
yang selesa untuk kekal menerajui Perdana Dua dan menewaskan 'abang sendiri'
Johor di Pasir Gudang bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan jika
mengukur keputusan pertemuan pertama, Mac lalu.
Szumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RjwmhZgI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan