Ahad, 18 Disember 2016

Pulau Pinang dapat bekalan cukup selesa

ARKIB : 12/04/2000
PULAU Pinang memperoleh bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Perak untuk aksi pusingan kedua apabila beraksi cemerlang menewaskan skuad Seladang 3-1 dalam perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala FA di Stadium Bandaraya, semalam, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Di hadapan penyokong sendiri, Pulau Pinang beraksi cemerlang apabila menjaringkan gol menerusi Hasmawi Hassan pada minit keenam dan 35 serta R. Suresh Kumar (74).

Perak pula yang menurunkan barisan pemain kebangsaan Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Mohd. Nor Derus, Syamsol Saad dan V. Saravanan, hanya mampu menjaringkan gol tunggal menerusi Liew Kit Kong pada minit ke-43.

Kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan aksi cukup meyakinkan tetapi Perak kecewa disebabkan kelalaian pemainnya sendiri.

Tindakan penjaga gol, Tay Seng Kiat keluar daripada gawangnya untuk menyelamatkan satu tendangan Pulau Pinang jelas mengundang padah.

Bola yang gagal ditumbuknya keluar daripada garisan penalti Perak singgah kepada Hasmawi Hassan menyepak masuk ke gawang yang kosong pada minit keenam.

Jaringan penyemarak semangat Pulau Pinang itu menyebabkan Perak terpaksa bertahan menerusi serangan yang bertali arus dilakukan oleh pasukan tuan rumah.

Siri serangan Pulau Pinang akhirnya memberi tekanan kepada pemain Perak yang kerap kali melakukan kesilapan.

Salah faham antara Shahrulnizam Sahat dan penjaga gol, Seng Kiat yang membiarkan tolakan Shamsul Mohd. Saad menyaksikan Hasmawi sekali lagi mencuri peluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-35.

Ketinggalan dua jaringan memerah keringat pemain Perak untuk berhempas pulas merapatkan jurang yang terbukti membawa sedikit hasil.

Hantaran tinggi pemain Perak, M. Nagaraja akhirnya ditanduk Kit Kong yang gagal diselamatkan penjaga gol Azlisham Ibrahim pada minit ke-43 untuk menamatkan babak pertama Pulau Pinang mendahului 2-1.

Sebaik babak kedua bermula, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan pantas dengan percubaan menarik.

Namun malang buat Perak kerana terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila K. Nanthakumar yang menjatuhkan pemain lawan diperintah keluar padang oleh pengadil Nik Ahmad Nik Yaakub selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-72.

Ini memudahkan pergerakan Pulau Pinang untuk terus mengasak yang menyaksikan rembatan kencang jarak 25 meter oleh R. Suresh Kumar gagal diselamatkan penjaga gawang, Seng Kiat pada minit ke-74 untuk Pulau Pinang mendahului 3-1.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4TG22nuFl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan