ARKIB : 12/04/2000
PULAU Pinang memperoleh bekalan
selesa sebelum bertandang ke Stadium Perak untuk aksi pusingan kedua apabila
beraksi cemerlang menewaskan skuad Seladang 3-1 dalam perlawanan suku akhir
pertama bola sepak Piala FA di Stadium Bandaraya, semalam, lapor ZAINU'L AZHAR
ASH'ARI.
Di hadapan penyokong sendiri,
Pulau Pinang beraksi cemerlang apabila menjaringkan gol menerusi Hasmawi Hassan
pada minit keenam dan 35 serta R. Suresh Kumar (74).
Perak pula yang menurunkan
barisan pemain kebangsaan Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Mohd. Nor Derus, Syamsol
Saad dan V. Saravanan, hanya mampu menjaringkan gol tunggal menerusi Liew Kit
Kong pada minit ke-43.
Kedua-dua pasukan memulakan
permainan dengan aksi cukup meyakinkan tetapi Perak kecewa disebabkan kelalaian
pemainnya sendiri.
Tindakan penjaga gol, Tay Seng
Kiat keluar daripada gawangnya untuk menyelamatkan satu tendangan Pulau Pinang
jelas mengundang padah.
Bola yang gagal ditumbuknya
keluar daripada garisan penalti Perak singgah kepada Hasmawi Hassan menyepak
masuk ke gawang yang kosong pada minit keenam.
Jaringan penyemarak semangat
Pulau Pinang itu menyebabkan Perak terpaksa bertahan menerusi serangan yang
bertali arus dilakukan oleh pasukan tuan rumah.
Siri serangan Pulau Pinang
akhirnya memberi tekanan kepada pemain Perak yang kerap kali melakukan
kesilapan.
Salah faham antara Shahrulnizam
Sahat dan penjaga gol, Seng Kiat yang membiarkan tolakan Shamsul Mohd. Saad
menyaksikan Hasmawi sekali lagi mencuri peluang untuk menjaringkan gol pada
minit ke-35.
Ketinggalan dua jaringan
memerah keringat pemain Perak untuk berhempas pulas merapatkan jurang yang
terbukti membawa sedikit hasil.
Hantaran tinggi pemain Perak,
M. Nagaraja akhirnya ditanduk Kit Kong yang gagal diselamatkan penjaga gol
Azlisham Ibrahim pada minit ke-43 untuk menamatkan babak pertama Pulau Pinang
mendahului 2-1.
Sebaik babak kedua bermula,
kedua-dua pasukan mempamerkan permainan pantas dengan percubaan menarik.
Namun malang buat Perak kerana
terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila K. Nanthakumar yang menjatuhkan
pemain lawan diperintah keluar padang oleh pengadil Nik Ahmad Nik Yaakub
selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-72.
Ini memudahkan pergerakan Pulau
Pinang untuk terus mengasak yang menyaksikan rembatan kencang jarak 25 meter
oleh R. Suresh Kumar gagal diselamatkan penjaga gawang, Seng Kiat pada minit
ke-74 untuk Pulau Pinang mendahului 3-1.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4TG22nuFl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan