Oleh: SYAHIR KASSIM
PULAU PINANG kini boleh menarik
nafas lega apabila penyerang kembar Hasmawi Hassan dan Mohd Fareed Shah Hassan
mula menunjukkan keserasian dalam menggempur kubu lawan walaupun baru tiga
perlawanan digandingkan bersama.
Aksi lincah Fareed ternyata tidak
menghampakan jurulatih Irfan Bakti apabila beliau menjaringkan gol pada setiap
perlawanan persahabatan.
Gol pertama Fareed sejak
menyertai skuad Pulau Pinang dijaringkan ketika menumpaskan calon Liga Perdana
Dua, Telekom Melaka 6-3 pada perlawanan persahabatan minggu lalu, diikuti
dengan sumbangan gol peribadi kedua ketika menewaskan Pahang 4-0 Khamis lalu.
Fareed bertindak garang malam
semalam ketika mengalahkan Perlis 2-1 dalam Kejohanan Empat Penjuru yang
berakhir hari ini menerusi dua gol jaringannya pada minit ke-46 dan ke-74.
Menurut Irfan, beliau menerima
apa juga keputusan dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya ini
tetapi yang penting bagi skuad Pulau Mutiara adalah mengenal pasti kelemahan di
setiap bahagian sebagai persediaan menghadapi Liga Perdana dan Piala FA, Mac
ini.
``Menang atau kalah tidak
penting, tetapi apa yang perlu dilakukan adalah menutup ruang kelemahan yang
wujud bagi menghadapi persaingan sebenar bulan depan, katanya ketika ditemui
malam semalam.
Kejohanan Empat Penjuru yang
bermula Khamis lalu melibatkan Pahang, Perlis, Gombak FC dari Singapura dan
pasukan tuan rumah, Pulau Pinang.
Dalam Perlawanan pertama Pulau
Pinang mengaibkan Pahang dengan jaringan 4-0 sebelum mengalahkan Perlis 2-1
dalam perlawanan malam semalam.
Menurut Irfan lagi, kejohanan ini
juga merupakan medan bagi Pulau Pinang untuk memilih kesebelasan utama selain
meningkatkan kesefahaman dan komunikasi pemain ketika berada di padang.
``Banyak perkara yang perlu
dipertingkatkan seperti persefahaman pemain pertahanan, kemantapan dan
menajamkan barisan serangan selain mengatur gerakan oleh pemain tengah, ujarnya.
Mengulas gandingan kembar Hasmawi
dan Fareed beliau berkata, gandingan mereka mula menunjukkan keserasian dan
kematangan.
``Masih ada ruang bagi mereka
(Hasmawi dan Fareed) untuk meningkatkan prestasi, apa yang penting termasuk
juga pemain lain ialah kesungguhan dan komitmen, tegasnya.
Hari ini, Pulau Pinang akan
menamatkan kejohanan itu, berhadapan dengan Gombak FC dan Persatuan Bola Sepak
Pulau Pinang juga sedang mengatur beberapa perlawanan persahabatan yang lain
termasuk bertemu Geylang FC dari Singapura di Stadium Negeri Batu Kawan, 5 Mac
ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bPBelzOh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan