ARKIB : 23/02/2001
SELAIN memiliki penyerang kembar
yang bakal menggegar, Pulau Pinang kini boleh mengukir senyum kerana benteng
pertahanannya mampu untuk mengekang pelbagai strategi asakan pasukan lawan
selepas mengharungi enam perlawanan persahabatan.
Jurulatih, Irfan Bakti mula boleh
mencongak barisan pertahanannya bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan
kelab Divisyen Dua Switzerland _ FC Wvelflingen Ahad ini sebelum menghadapi
ujian sebenar saingan bola sepak Piala FA bulan depan.
Keserasian Chee Wan Hoe, Yong
Wong Seang, S. Nanthakumar dan Abdul Rahim Hassan walaupun belum menempuh ujian
sebenar telah mengecewakan banyak penyerang lawan.
``Saya tidak mahu mendabik dada
dengan pencapaian mereka kerana banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.
``Mereka belum lagi menempuh
ujian sebenar, berhadapan dengan pasukan yang mempunyai pelbagai strategi untuk
mencari gol,'' katanya ketika ditemui di Stadium Bandaraya, kelmarin.
Selepas mengharungi enam
perlawanan barisan pertahanan yang dibarisi oleh Rahim, Chee, Yong,
Nanthakumar, K Karunakaran dan Abdul Aziz Merican hanya melepaskan empat
jaringan.
``Walaupun jaringan yang
dilepaskan agak kecil saya masih mencari gandingan pertahanan yang betul-betul
mantap,'' ujarnya.
Selepas menempuh enam perlawanan
persahabatan barisan hadapan skuad Pulau Mutiara berjaya merobek gawang lawan
menerusi 19 jaringan.
Dalam perlawanan Selasa lalu,
Pulau Pinang menewaskan Kuala Lumpur 2-1 menerusi jaringan Mohd Noor Derus dan
R. Suresh Kumar.
Dalam Kejohanan Empat Penjuru
anjuran Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang berakhir Ahad lalu skuad
Pulau Mutiara memenangi semua perlawanan menewaskan Pahang 4-0, Perlis 2-1 dan
Gombak FC dari Singapura 1-0.
Sebelum ini dalam perlawanan
persahabatan awal anak didik Irfan juga berjaya menumpaskan Telekom Melaka 6-2
dan Asell Kedah, 4-0.
Selain perlawanan persahabatan
dengan FC Wvelflingen, Pulau Pinang juga akan bertemu Geylang FC dari Singapura
di Stadium Negeri Batu Kawan pada 5 Mac.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bPRKojt9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan