Selasa, 28 Mac 2017

Kemenangan dalam kesedihan


 

ARKIB : 11/02/2003
SUKA DAN DUKA... Dua suasana berbeza dalam aksi Sumbangsih di Stadium Batu Kawan menyaksikan kegembiraan Pulau Pinang menjaringkan gol kemenangan (gambar kanan) hanya sementara sahaja kerana selepas itu mereka kehilangan penyerang utamanya, Gustavo Alberto Romero yang terpaksa diusung keluar kerana cedera (gambar kiri) sekaligus khidmatnya terpaksa dilupakan lebih sebulan. - Gambar Saharuddin Abdullah.

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
KEGEMBIRAAN Pulau Pinang merangkul Piala Sumbangsih kelmarin diwarnai dengan kesedihan apabila penyerang import, Gustavo Alberto Romero terpaksa melupakan saingan Liga Perdana Satu untuk tempoh lebih sebulan akibat kecederaan.

Pemain berusia 24 tahun dari Argentina itu cedera di pipi kanan dan dipercayai mengalami keretakan di bahagian rahang selepas dia berlaga dengan penjaga gol Selangor, Azmin Azram Abdul Aziz dalam usahanya memburu gol.

Kehilangan tonggak serangan itu juga pasti membingungkan dan membantutkan rancangan jurulatih skuad Pulau Mutiara, Irfan Bakti untuk mengharungi saingan sengit liga perdana musim ini.

``Kita sedih dengan insiden yang menimpa Romero. Di saat kita meraikan kemenangan, dia dikejarkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

``Namun di sebalik kehilangan pemain itu untuk tempoh kira-kira enam minggu, terdapat sedikit kepincangan tetapi ia tidak menjadi masalah besar kepada kita,'' kata Irfan.

Beliau menambah, Pulau Pinang masih memiliki dua lagi penyerang - Hasmawi Hassan dan Wan Rohaimi Wan Ismail yang mampu menggalas tanggungjawab di barisan depan.

``Para pemain perlu bersungguh-sungguh untuk bersaing mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Romero,'' katanya.

Romero hanya beraksi selama 28 minit sebelum diusung keluar akibat kecederaan setelah dirempuh keras Azmin Azram yang juga ketua pasukan Selangor.

Gol kemenangan Pulau Pinang pada perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah itu dijaringkan oleh pemain pertahanan, Geoff Dwyer pada minit ke-12.

Menyentuh keseluruhan persembahan Pulau Pinang dalam perlawanan itu Irfan berkata: ``Secara keseluruhan saya berpuas hati. Namun masih banyak ruang dan kelemahan perlu diatasi segera.''

Menurut beliau, keadaan padang yang licin juga menjejaskan rentak permainan sekali gus menyukarkan mereka untuk mempamerkan aksi terbaik.

Begitupun beliau tetap meminta pemain khususnya rangkaian penyerang menggandakan usaha menjaringkan gol di samping barisan pertahanan mengukuhkan lagi benteng mereka.

``Barisan penyerang perlu lebih banyak mengancam ke kubu lawan dengan percubaan-percubaan tepat dan berbahaya sementara barisan tengah pula perlu bijak mencari serta membuka ruang kepada rakan di barisan depan,'' katanya.

Pulau Pinang akan bertandang ke Stadium Hang Tuah menentang Melaka Sabtu ini sebelum kembali ke Stadium Batu Kawan pada 22 Februari depan menanti kunjungan Kedah.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cbxXbZ00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan