Rabu, 29 Mac 2017

Giliran PP rampas takhta Liga Perdana Satu

ARKIB : 09/03/2003
PULAU PINANG merampas takhta bola sepak Liga Perdana Satu daripada Perlis selepas skuad Pulau Mutiara mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sarawak dalam aksi di Stadium Negeri, Batu Kawan, semalam.

Perlis yang menguasai carta teratas liga sejak awal musim, tergelincir ke tangga keempat selepas tewas 3-0 kepada juara musim lalu, Perak yang melonjak ke tangga kedua.

Juara musim 2001, Pulau Pinang bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Sarawak menerusi Sapian Wahid pada minit ke-38 tetapi pasukan tuan rumah pantas menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian menerusi jaringan Zailani Jaafar.

R. Sureshkumar memberikan gol kemenangan buat Pulau Pinang menerusi jaringan minit ke-73.

Di Stadium Perak, skuad Seladang memperoleh gol menerusi Khalid Jamlus pada minit pertama, V. Saravanan (54) dan dan gol sendiri oleh ketua pasukan Perlis, Mohd. Khaironisam Sahabuddin (82).

Di Stadium Darulaman, Alor Star, Kedah mencatat kemenangan terbesar dengan membaham Melaka 6-0 untuk melonjak ke tangga ketiga di atas Perlis.

Amirul Nizam Mahadzir membuka jaringan pada minit ke-35 dan tiga minit kemudian, Thomas Adel menggandakan jaringan sebelum G. Shanmugan menutup babak pertama dengan gol ketiga Kedah minit ke-41.

Zainuddin Mohd. Ariffin terus menambah derita Melaka dengan jaringan keempat Kedah pada minit ke-57 sebelum pemain kebangsaan, Liew Kit Kong menyumbat dua gol minit ke-67 dan 83 untuk meranapkan Melaka.

Johor FC mengotakan janji untuk mencatat kemenangan pertama dalam Perdana Satu dengan kemenangan 4-1 ke atas Kelantan di Stadium Pasir Gudang.

Pemain import dari Australia, Jonathan Ben Angelucci menjaringkan dua gol pada minit ke-12 dan sepakan penalti minit ke-76.

Dua lagi gol Johor FC dijaringkan oleh Eddy Helmy Abdul Manan (15) dan Idris Karim (67). Gol tunggal Kelantan dijaringkan oleh Md. Hardi Ahmad lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Juara Piala Malaysia, Selangor sekadar seri 1-1 dengan Telekom Melaka di Stadium Shah Alam.

Malah, Red Giants harus berterima kasih kepada Jaafar Salleh yang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-70 selepas Issac Kuffour meletakkan Telekom Melaka di depan menerusi sepakan penalti minit ke-24.

SUMBER-rtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ciKGBblx 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan