ARKIB : 30/07/2000
AKHIRNYA, Pulau Pinang terlepas
peluang untuk menjulang piala Liga Perdana Satu selepas diberi tentangan sengit
oleh Brunei dalam perlawanan penutup tirai yang berkesudahan tanpa jaringan di
Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, semalam.
Ini adalah kegagalan kali kedua
untuk Pulau Pinang selepas tewas dalam perlawanan akhir Piala FA kepada
Terengganu Jun lalu.
Pulau Pinang juga gagal
mengulangi kejayaannya menjulang piala Liga Perdana Satu selepas melakukannya
pada 1998.
Selangor yang berkongsi 42 mata
dengan Pulau Pinang tetapi berada di tangga kedua di belakang skuad ''harimau
kumbang'' berdasarkan jaringan memastikan kejuaraan berkenaan setelah mengatasi
Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Perlawanan di Bandar Seri
Begawan cukup menarik kerana Pulau Pinang turun dengan penuh semangat untuk
mencari tiga mata penuh untuk mengatasi Selangor yang turut berkongsi 42 mata
tetapi kelebihan jaringan memihak kepada skuad ''harimau kumbang'' untuk menghuni
tangga teratas liga.
Sebaik perlawanan bermula Pulau
Pinang dikejutkan dengan serangan pantas Brunei yang memperoleh kesempatan
menembusi kotak penalti pasukan pelawat.
Riwandi Wahid yang mendapat
hantaran Radiman Abdul Rahman bagaimanapun gagal membuka tirai jaringan apabila
sepakannya terkeluar pada minit ke-2.
Pasukan pelawat turut
dihidangkan peluang keemasan hasil hantaran cantik Ng Kok Heng ke depan gawang
Brunei tetapi tandukan Hasmawi Hassan berjaya ditepis penjaga gol Alizanda
Sitom pada minit ke-11
Ternyata nasib masih tidak
menyebelahi Pulau Pinang apabila sekali peluang keemasan terlepas setelah
hantaran tinggi Moey Kok Hong sekadar menyaksikan bola tandukan Wong Kah Loon
terkena palang pada minit ke-42, percubaan terakhir sebelum babak pertama
berakhir dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Permulaan separuh masa kedua
juga tidak memihak kepada Pulau Pinang apabila penjaga gawang Brunei, Azalinda
Sitom berkasi cemerlang menepis rembatan kencang Moey Kok Hong pada minit
ke-48.
Sebaliknya, Brunei terus
mengancam menerusi hantaran Irwan Mohammad tetapi Abang Norsillmy Abang Taha
menyepak tinggi melepasi palang gol Pulau Pinang pada minit ke-75.
BRUNEI: Alizanda Sitom, Saiful
Rizal Awang, Rosli Liman, Salehuddin Damit, Sharimin Hairul Sharbini, Fadlin
Galawat, Shahrul Rizal Abdul Rahman, Irwan Mohammad, Abang Norsillmy Abang
Taha, Radiman Abdul Rahman, Riwandi Wahit.
PULAU PINANG: Kamarulzaman
Hassan, Yong Woon Seang, Chee Wan Hoe, Khairil Zainal, Fauzi Soh, Ng. Kok Heng,
Moey Kok Hong, R. Suresh Kumar, Wong Kah Loon (Mohd. Azli Fasya), Ooi Hoe Guan
(Faizal Zainal), Hasmawi Hassan.
Sementara itu di Stadium KLFA,
Cheras, Kuala Lumpur menafikan langkahan Sabah ke Perdana Satu musim depan
selepas menewaskan lawan itu 3-2.
Sabah akan bermain dalam
Perdana Dua musim depan bersama Brunei.
Kuala Lumpur mendahului 2-1
pada separuh masa pertama hasil dua jaringan Rosli Derus pada minit ke-12 dan
15 dan Rizal Awang Jad merapatkan jurang untuk Sabah pada minit ke-22.
Bagaimanapun, Mohd. Farid Dewan
melebarkan kedudukan 3-1 untuk Kuala Lumpur menerusi jaringan minit ke-51
sebelum Redzuan Ahmad Khan kembali merapatkan kedudukan 3-2 pada minit ke-69.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4aYcFoWE7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan