Isnin, 6 Mac 2017

P. Pinang kempunan juara Liga

ARKIB : 30/07/2000
AKHIRNYA, Pulau Pinang terlepas peluang untuk menjulang piala Liga Perdana Satu selepas diberi tentangan sengit oleh Brunei dalam perlawanan penutup tirai yang berkesudahan tanpa jaringan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, semalam.

Ini adalah kegagalan kali kedua untuk Pulau Pinang selepas tewas dalam perlawanan akhir Piala FA kepada Terengganu Jun lalu.

Pulau Pinang juga gagal mengulangi kejayaannya menjulang piala Liga Perdana Satu selepas melakukannya pada 1998.

Selangor yang berkongsi 42 mata dengan Pulau Pinang tetapi berada di tangga kedua di belakang skuad ''harimau kumbang'' berdasarkan jaringan memastikan kejuaraan berkenaan setelah mengatasi Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Perlawanan di Bandar Seri Begawan cukup menarik kerana Pulau Pinang turun dengan penuh semangat untuk mencari tiga mata penuh untuk mengatasi Selangor yang turut berkongsi 42 mata tetapi kelebihan jaringan memihak kepada skuad ''harimau kumbang'' untuk menghuni tangga teratas liga.

Sebaik perlawanan bermula Pulau Pinang dikejutkan dengan serangan pantas Brunei yang memperoleh kesempatan menembusi kotak penalti pasukan pelawat.

Riwandi Wahid yang mendapat hantaran Radiman Abdul Rahman bagaimanapun gagal membuka tirai jaringan apabila sepakannya terkeluar pada minit ke-2.

Pasukan pelawat turut dihidangkan peluang keemasan hasil hantaran cantik Ng Kok Heng ke depan gawang Brunei tetapi tandukan Hasmawi Hassan berjaya ditepis penjaga gol Alizanda Sitom pada minit ke-11

Ternyata nasib masih tidak menyebelahi Pulau Pinang apabila sekali peluang keemasan terlepas setelah hantaran tinggi Moey Kok Hong sekadar menyaksikan bola tandukan Wong Kah Loon terkena palang pada minit ke-42, percubaan terakhir sebelum babak pertama berakhir dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Permulaan separuh masa kedua juga tidak memihak kepada Pulau Pinang apabila penjaga gawang Brunei, Azalinda Sitom berkasi cemerlang menepis rembatan kencang Moey Kok Hong pada minit ke-48.

Sebaliknya, Brunei terus mengancam menerusi hantaran Irwan Mohammad tetapi Abang Norsillmy Abang Taha menyepak tinggi melepasi palang gol Pulau Pinang pada minit ke-75.

BRUNEI: Alizanda Sitom, Saiful Rizal Awang, Rosli Liman, Salehuddin Damit, Sharimin Hairul Sharbini, Fadlin Galawat, Shahrul Rizal Abdul Rahman, Irwan Mohammad, Abang Norsillmy Abang Taha, Radiman Abdul Rahman, Riwandi Wahit.

PULAU PINANG: Kamarulzaman Hassan, Yong Woon Seang, Chee Wan Hoe, Khairil Zainal, Fauzi Soh, Ng. Kok Heng, Moey Kok Hong, R. Suresh Kumar, Wong Kah Loon (Mohd. Azli Fasya), Ooi Hoe Guan (Faizal Zainal), Hasmawi Hassan.

Sementara itu di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur menafikan langkahan Sabah ke Perdana Satu musim depan selepas menewaskan lawan itu 3-2.

Sabah akan bermain dalam Perdana Dua musim depan bersama Brunei.

Kuala Lumpur mendahului 2-1 pada separuh masa pertama hasil dua jaringan Rosli Derus pada minit ke-12 dan 15 dan Rizal Awang Jad merapatkan jurang untuk Sabah pada minit ke-22.

Bagaimanapun, Mohd. Farid Dewan melebarkan kedudukan 3-1 untuk Kuala Lumpur menerusi jaringan minit ke-51 sebelum Redzuan Ahmad Khan kembali merapatkan kedudukan 3-2 pada minit ke-69.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4aYcFoWE7

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan