Sabtu, 18 Mac 2017

P. Pinang mengganas


 

ARKIB : 01/08/2001
PEMAIN Kelantan, Md. Hardi Ahmad (tengah) diasak oleh dua pemain Kuala Lumpur, Azlan Hussain (kanan) dan Imran Ahmad pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium KLFA, Cheras, semalam yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

PULAU PINANG menunjukkan aksi sebenar sebagai kuasa terkuat bola sepak Liga Perdana Satu, apabila membelasah pasukan tangga terbawah, Johor 5-0 dalam aksi di Stadium Batu Kawan, semalam.

Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan skuad Harimau Kumbang di persada liga dengan 38 mata menjarakkan kedudukan dengan Terengganu dengan lima mata selepas pasukan Penyu seri 2-2 dengan Perlis di Kangar.

Gol pertama Pulau Pinang dijaringkan oleh Hasmawi Hassan minit kedua manakala gol kedua dan ketiga oleh Moey Kok Hong (15 dan 38). Ooi Hoe Guan menambah gol keempat minit ke-80 dan D. Samuel Raj menutup malam gemilang Harimau Kumbang dengan jaringan kelima minit ke-85.

Terengganu mendahului 2-0 menerusi jaringan Sapian Wahid (27) dan Rosdi Talib (57) tetapi Singa Utara menyamakan kedudukan dengan jaringan Khairil Zamri Rashid (80) dan Rozmin Musa minit ke-90.

Pasukan tangga ketiga, Kelantan mengekalkan kedudukannya apabila seri tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras.

Perak yang bermain tanpa jurulatih, mengecewakan pasukan tuan rumah, Sarawak 2-0 di Stadium Sarawak.

Khalid Jamlus menyentak skuad Bujang Senang dengan gol pembukaan minit ke-60 sebelum ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar menambah gol kedua, seminit sebelum tamat permainan.

Juara bertahan, Selangor sekali lagi kecewa di Stadium Shah Alam apabila tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan.

Dua pemain bawah 23 kebangsaan, K. Rajan dan Mohd. Shukor Adan menjaringkan gol untuk Negeri Sembilan minit ketujuh dan 40 manakala gol tuan rumah dijaringkan Rusdi Suparman minit ke-51 menerusi sepakan penalti.

Melaka memperoleh semula penawar apabila mencipta kemenangan 2-1 ke atas Pahang di Stadium Kubu.

Selepas dikecewakan Pulau Pinang 3-0, Melaka mengutip tiga mata menerusi jaringan penalti S. Arumugam minit ke-16 dan K. Rajan minit ke-25 manakala gol tunggal Pahang oleh Azmani Abdul Kadir minit ke-75.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhryKQ2l

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan