ARKIB : 08/08/2001
PULAU PINANG terus menjarakkan
diri di tangga teratas liga selepas membelasah Perak 3-0 pada perlawanan bola
sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang semalam.
Kemenangan itu memastikan
pasukan Pulau Mutiara itu mengumpul 41, tujuh mata di depan pencabar terdekat,
Terengganu yang sekadar seri 0-0 dengan Pahang di Kuantan.
Pulau Pinang yang mendapat
sokongan padu di gelanggang sendiri ceria apabila Zailani Jaafar membuka tirai
jaringan seawal minit kelapan permainan.
Perak terus dihampakan pada
minit ke-25 apabila Hasmawi Hassan menyumbat masuk gol kedua Pulau Pinang,
sebelum jaringan Ng Kok Heng pada minit ke-31.
Di Stadium Darul Makmur, tuan
rumah Pahang menyekat hajat kemenangan Terengganu apabila kedua-dua pasukan
seri tanpa jaringan untuk berkongsi satu mata.
Di Stadium KLFA, Cheras, Kuala
Lumpur turut berkongsi satu mata dengan Selangor yang mendahului permainan
menerusi jaringan Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-25.
Begitu pun, pasukan tuan rumah
bangkit dengan gol penyamaan oleh Liew Kin Tu pada minit ke-49 untuk kedudukan
muktamad 1-1.
Di Stadium Utama, Kangar, tuan
rumah Perlis meraikan kemenangan besar 4-0 ke atas Kelantan selepas jaringan
awal oleh Mohd Feriza Ismail pada minit kedua permainan.
Badrul Afzan Razali menjadikan
kedudukan 2-0 pada minit ke-19, diikuti gol ketiga dan keempat oleh Hairil
Zamri Abd Rashid (31) dan Rozmin Musa (32).
Di Stadium Larkin, Johor gagal
menyekat Melaka yang mengutip tiga mata penuh dengan kemenangan 3-1.
Dalam satu lagi perlawanan di
Stadium Sarawak, tuan rumah mengalami kekalahan mengaibkan 4-0 kepada Negeri
Sembilan yang membuka jaringan menerusi Effendi Abd Malek pada minit ke-24.
Gol-gol lain Negeri Sembilan
oleh Zami Mohd Noor (63), Chow Chee Weng (65) dan Wong Sai Kong (80).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bi2EbyHR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan