Sabtu, 18 Mac 2017

P. Pinang terbayang habuan juara

ARKIB : 18/08/2001
PERSAINGAN bola sepak Liga Perdana Satu masih berbaki dua perlawanan tetapi barisan pemain Pulau Pinang boleh mengukir senyum kerana 75 peratus daripada hadiah wang tunai akan menjadi milik mereka, lapor AHMAD SYAHIR KASSIM.

Ganjaran yang ditawarkan bagi juara Perdana Satu ialah sebanyak RM150,000 dan ini bermakna anak buah Irfan Bakti akan berkongsi wang sebanyak RM112,500.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, pemberian insentif itu tercatat dalam perjanjian antara pemain dengan persatuan.

Katanya, para pemain juga akan menerima bonus tambahan sekiranya berjaya memenangi Piala Malaysia.

``Banyak pihak berminat memberi sumbangan kepada persatuan, tetapi pemberian bonus tambahan kepada pemain belum boleh ditentukan,'' katanya di Pulau Pinang, semalam.

Dan ketika Harimau Kumbang bersiap sedia meraikan kejayaan, lima pasukan menunggu nasib sama ada berjaya mengisi baki tiga tempat automatik ke Piala Malaysia.

Negeri Sembilan, Perak, Sarawak, Melaka dan Kuala Lumpur bersaing hebat merebut tiga tempat itu.

Melaka di tangga ke-10 tetapi berkongsi 21 mata dengan Kuala Lumpur di tangga ke-11, mengharapkan mata penuh ke atas Terengganu di Stadium Kubu.

Kuala Lumpur berkunjung ke Kuching menentang Sarawak yang juga belum selamat untuk berada antara tiga tempat berkenaan.

Cuma Perak mungkin tidak menghadapi masalah di Stadium Larkin untuk mengatasi Johor yang sudahpun tersingkir ke Perdana Dua musim depan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bjFemHD7

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan