ARKIB : 16/08/2001
PEMAIN Pahang, Khairul Nizam Man
mengawal bola daripada salah seorang pemain Pulau Pinang sewaktu perlawanan
bola sepak Perdana Satu di Stadium Darulmakmur, Kuantan kelmarin. Pahang menang
2-1. - Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.
HAKIKAT bahawa mereka tewas
kepada Pahang kelmarin sudah tentu amat pedih untuk diterima oleh Pulau Pinang
ketika gelaran juara bola sepak Perdana Satu sudah begitu hampir dalam
genggaman.
Akibat keputusan itu, Pulau
Pinang perlu menanti sekurang-kurangnya satu perlawanan lagi untuk bergelar
juara.
Ia adalah kekalahan kedua skuad
Irfan Bakti dalam liga setelah tewas 1-0 kepada Terengganu pada pusingan
pertama. Mereka tewas 2-1 kepada Pahang di Kuantan, kelmarin.
Dalam masa yang sama, juara
pusingan pertama, Terengganu yang kini mengekori dari tempat kedua mengutip
satu mata setelah seri 1-1 dengan Sarawak, keputusan yang sudah cukup untuk
memastikan persaingan diteruskan, sekurang-kurangnya dalam satu daripada baki
dua perlawanan.
Pulau Pinang dengan 44 mata
sebenarnya hanya memerlukan keputusan seri kelmarin, tetapi mensia-siakan
peluang itu walaupun setelah mendahului Pahang 1-0 menerusi jaringan Hasmawi
Hassan pada minit ke-11. Pahang membalas menerusi Ahmad Shahruddin Rosdi pada
minit ke-28 dan Azizul Kamaluddin minit ke-50.
Apakah tragedi tahun lepas akan
berulang ke atas skuad Pulau Mutiara itu?
Pada hari terakhir liga tahun
lalu, Pulau Pinang di tangga teratas dan hanya berdepan dengan pasukan
tercorot, Brunei tetapi hanya mencatatkan seri tanpa jaringan.
Selangor, yang terikat 42 mata
dengan Pulau Pinang tetapi di tempat kedua atas perbezaan gol sebelum
perlawanan terakhir, mencipta kejayaan dramatik apabila menumpaskan pasukan
kuat, Negeri Sembilan 2-0 untuk merangkul gelaran liga.
Namun, nasib Pulau Pinang kali
ini nampak lebih baik. Selain masih mempunyai dua perlawanan, mereka juga
berada di depan Terengganu dengan enam mata dan akan bermain di tempat sendiri
bertemu Perak Sabtu ini.
Bagaimanapun, misi Pulau Pinang
bukan mudah kerana Perak, di tempat kelapan liga, memerlukan kemenangan untuk
mengesahkan tempatnya ke pertandingan Piala Malaysia.
Setakat ini, enam pasukan sudah
mengesahkan tempat mereka ke pertandingan paling berprestij itu dengan
didahului Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Perlis dan Pahang. Tiga
lagi tiket kelayakan automatik menanti pasukan Perdana satu di antara Negeri
Sembilan, Perak, Sarawak, Melaka dan Kuala Lumpur.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4birBQijU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan