ARKIB : 17/08/2002
PULAU Pinang mempunyai senjata
sulit untuk mencalar imej Perak yang dilabel sebagai jaguh dalam perlawanan
akhirPiala FA di Stadium Nasional Bakit Jalil malam ini lapor AHMAD SYAHIR
KASSIM.
Skuad Seladang yang kini berada
dalam kelas tersendiri pasti kecewa dan terjerat diri dengan skuad Harimau
Kumbang yang berada pada tahap terbaik untuk membenam jiran tetangga itu.
Strategi yang dirancang
diterjemahkan dalam perlawanan yang akan berlangsung dalam tempoh kurang 24
jam, selain itu para pemain juga kini diselimuti dengan semangat yang memuncak
untuk membawa pulang piala berprestij itu ke Pulau Mutiara.
``Fikiran dan tumpuan pemain kini
100 peratus kepada perlawanan akhir esok (malam ini) dan mereka sentiasa fokus
kepada apa yang telah dirancang dalam latihan.
``Saya tidak gusar tentang
tumpuan pemain kerana tiga dan empat perlawanan lalu banyak mengajar mereka,
pantas bangkit selepas ketinggalan dan kita meraih kejayaan,'' kata jurulatih
Pulau Pinang, Irfan Bakti.
Kemampuan menyerap tekanan juga
memberi kelebihan kepada skuad Harimau Kumbang itu, cemuhan dan ejekan
penyokong sendiri tidak dipedulikan seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Walaupun ketinggalan 0-2 pada
separuh masa pertama ketika menentang Kedah pada separuh akhir lalu, mereka
mampu bangkit menyamakan kedudukan dan menang pada permainan sudden death.
``Penyokong dan pemberita sendiri
terkejut babak kedua kita mampu bangkit walaupun pada awalnya mereka
mengandaikan Pulau Pinang akan kecundang.
``Ketenangan dan keupayaan serap
tekanan aset penting yang dimiliki pemain yang boleh membawa mereka meraih
kejayaan,'' kata Irfan lagi.
Selain faktor dalaman dan
psikologi pemain, kebijaksanaanjurulatih merencana strategi juga menjadi penentu
kejayaan.
Perak yang terkenal dengan corak
permainan ala samba dan kadang kala menggunakan pendekatan ala Inggeris tidak
menggusarkan Pulau Pinang.
Selain itu kreativiti jurulatih
skuad Seladang, Toni Netto yang berjaya mengasah bakat Indra Putra Mahyuddin
dari pemain tengah kepada penyerang berbahaya membuatkan benteng skuad Harimau
Kumbang tidak sabar-sabar berhadapan dengan pemain muda itu.
``Saya tahu corak permainan Perak
dan kita juga ada strategi sendiri tidak kiralah ala apa pun yang penting ia
bakal memerangkap Perak.
``Barisan pertahanan kita, Chee
Wan Hoe, Zailani Jaafardan Abdul Aziz Ismail serta kehadiran semula Moey Kok
Hong menceriakan kem Pulau Pinang dan mereka tidak sabar untuk berdepan dengan
tiga rangkaian serangan Perak itu,'' katanya.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cFuGo5kC
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan