ARKIB : 15/08/2002
Oleh SYAHIR KASSIM
PULAU Pinang yakin mendakap Piala
FA dalam tempoh 90 minit perlawanan akhir menentang jiran tetangga, Perak di
Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Berdasarkan prestasi semasa dan
semangat juang yang tinggi di samping sokongan padu penyokong impian itu mampu
dikapai oleh barisan skuad Harimau Kumbang yang bersiap sedia untuk
mengecewakan Seladang.
``Saya percaya juara Piala FA
dapat ditentukan dalam tempoh 90 minit permainan dan yakin piala itu menjadi
milik Pulau Pinang.
``Ditinjau dari situasi semasa
ketika menentang Kedah pada separuh akhir minggu lalu kita berada pada tahap
terbaik,'' kata jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti.
Bagaimanapun Pulau Pinang perlu
memperlengkapkan diri sekiranya permainan berlarutan ke sudden death atau
kemungkinan juara ditentukan melalui sepakan penalti.
``Sekiranya permainan berlarutan
ke sudden death kita bersedia, pengalaman dalam dua perlawanan lalu banyak
mengajar pemain.
Sementara itu, kehilangan dua tonggak
utama pemain veteran, Moey Kok Hong dan awang import dari Argentina, Luis Pablo
Pozzuto tidak menggusarkan Irfan.
Beliau sebaliknya menaruh
sandaran kepada beberapa nama yang sentiasa bersedia menggalas tugas menentang
Perak dalam perlawanan akhir Piala FA yang tinggal dua hari lagi.
``Kita masih memiliki beberapa
pemain yang mampu mengisi kekosongan itu yang telah teruji kemampuan mereka dan
membuahkan hasil yang diharapkan.
``R Suresh Kumar, Zool Ihsan
Yunus dan Abdul Aziz Ismail antara pemain yang bakal mengambil alih tempat
kedua-dua pemain yang cedera itu,'' kata Irfan ketika dihubungi semalam.
Bekas pemain kebangsaan berumur
30 tahun itu mengalami kecederaan di lutut kiri dan tidak disenaraikan sejak
lima perlawanan lalu, manakala Pozutto pula cedera di kemaluannya.
``Kita tunggu sehari dua lagi
untuk melihat perkembangan kecederaan Kok Hong sekiranya pulih sepenuhnya
selain faktor prestasi stamina dia mungkin boleh diturunkan.
``Tetapi kita tidak mahu
mengambil risiko menurunkan pemain yang belum pulih sepenuhnya kerana ia akan
membawa kesan buruk kepada pemain itu sendiri selain pasukan.
``Pozzuto kemungkinan besar tidak
dapat diturunkan, senarai akhir pemain akan diketahui Jumaat ini `' kata Irfan.
R. Suresh Kumar dan Zool Ihsan
memiliki kelebihan tersendiri dan penyenaraian kedua-dua pemain berkenaan
bergantung kepada strategi yang digunakan oleh Irfan.
Manakala Abdul Aziz yang beraksi
cemerlang ketika menentang Kedah minggu lalu diberi kepercayaan untuk terus
kekal di bahagian pertahanan mengekang asakan lawan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4cFpW2PsR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan