Jumaat, 24 Mac 2017

Piala Malaysia idaman juara FA



ARKIB : 19/08/2002
SEBAHAGIAN daripada penyokong pasukan Pulau Pinang berkongsi kegembiraan sambil memegang Piala FA yang dimenangi oleh pasukan itu di perkarangan pejabat Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), semalam. - Gambar ISHAK RAHMAD.

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
KEJAYAAN Pulau Pinang memenangi Piala FA disambut gembira dan kesyukuran oleh segenap lapisan masyarakat negeri ini disamping harapan tinggi dan keyakinan untuk meneruskan kecemerlangan bagi merangkul Piala Malaysia.

Semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain dan sokongan padu penyokong menamatkan penantian 12 tahun skuad Pulau Mutiara untuk mendakap piala itu yang mula dipertandingkanpada 1990.

Kemenangan itu juga menepati sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini selepas kegagalan mengekalkan Piala Liga yang terpaksa diserahkan kepada jiran tetangga yang ditewaskan malam semalam, Perak.

Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, kejayaan meraih kejuaraan itu adalah hasil usaha bersungguh-sungguh pemain yang tidak pernah berputus asa.

Katanya, beliau juga berharap para pemain terus meningkatkan prestasi untuk perlawanan yang akan datang dan seterusnya memenangi Piala Malaysia.

``Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemain, pengurusan dan jurulatih kerana kejayaan meraih piala itu dengan kesungguhan dan komitmen pemain kita berjaya.

``Saya juga berharap mereka terus kekalkan prestasi dan tunjukkan semangat yang sama untuk memenangi Piala Malaysia yang belum pernah dikecapi,'' katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan pejabat FAP sejurus tiba dari Kuala Lumpur petang semalam.

Ketibaan pemain dari ibu negara turut disambut 20 penunggang motosikal berkuasa besar yang menunggu di Bukit Merah dan seterusnya mengiringi mereka hingga ke Georgetown.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain import dari Argentina, Gustavo Alberto Romero dalam perlawanan yang disulami aksi kasar dengan dua kad merah dan lima kuning dilayang pengadil, Mohamad Sukri Mat Amin.

Tsu Koon yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang melahirkan harapan kepada rakyat di negeri ini untuk meningkatkan lagi sokongan kepada para pemain yang bakal meneruskan misi dalam kempen Piala Malaysia.

``Saya sangat berharap agar rakyat Pulau Pinang datang beramai-ramai ke stadium memberi sokongan padu kepada pemain dan melalui sokongan itu juga ia dapat meningkatkan kantung persatuan,'' katanya.

Sementara itu jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti ketika ditemui berkata, penguasaan bahagian tengah menyukarkan pemain Perak untuk bergerak memberi ruang kepada pemain untuk menguasai perlawanan.

``Ahmad Shahrul Azhar, M. Nagaraja dan Indra Putra Mahyuddin tidak dapat bergerak bebas dikawal rapi oleh pemain kita, kesempatan itu memudahkan kita untuk merancang permainan danseterusnya menjaringkan gol,'' katanya.

Beliau menambah, walaupun stadium dipenuhi penyokong Perak berbanding Pulau Pinang yang tidak sampai 10,000 orang namun semangat tinggi pemain dapat menyerap semua itu dan Pulau Pinang berjaya memenangi perlawanan.

``Nisbah antara penyokong Perak dan Pulau Pinang ialah 1:6,jauh bezanya namun pemain tetap mampu mengawal keadaan dan bermain seperti biasa,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cG1r5ZzI© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan