ARKIB : 21/08/2002
PENYERANG Selangor, Rusdi
Suparman (depan) berjaya melepasi halangan pemain Kelantan dalam perlawanan
Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam. Selangor 1 Kelantan 1. - Gambar
SHAMSUL ARIFFIN CHE OMAR.
PULAU PINANG yang masih segar
dengan kejayaan merangkul Piala FA mencipta kemenangan selesa 3-0 ke atas
Melaka di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai untuk berkongsi tangga teratas
dengan dua lagi pasukan dalam Kumpulan B bola sepak Piala Malaysia semalam.
Wira Piala FA, Gustavo Romero
menghasilkan gol sulung perlawanan pada minit ke-21 sebelum Nordin Kamis dan
Asmawi Hassan menambah gol pada masing-masing pada minit ke-24 dan 26.
Kemenangan itu membantu Pulau Pinang,
yang menduduki tempat terakhir Kumpulan A sebelum perlawanan semalam, untuk
berkongsi tangga teratas dengan Melaka dan MPPJ Selangor. Ketiga-tiga pasukan
mengumpul lima mata.
Penyandang juara, Terengganu pula
terselamat daripada menerima malu di di Stadium Sultan Ismail, Kuala Terengganu
apabila seri 0-0 dengan MPPJ Selangor walaupun bermain dengan sembilan orang
setelah Wan Rohaimi Ismail dibuang padang pada minit ke-57.
Keputusan itu menyaksikan
Terengganu tersingkir ke tangga tercorot dengan empat mata.
Kedah pula menyekat hajat Perak
untuk muncul pasukan pertama ke suku akhir apabila menumpaskan juara Perdana
Satu itu dengan 2-1 pada perlawanan Kumpulan D di Stadium Darul Aman, Alor
Setar.
Kedah bangkit menerusi jaringan
Liew Kit Kong (78) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (90) setelah Perak mendahului
melalui jaringan Rushanizam Mohd. Idrus (64).
NS Chempaka pula mengejutkan
Johor FC dengan kemenangan 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hasil
jaringan R. Mani Varman pada minit ke-24 untuk menghidupkan semula peluang ke
suku akhir.
Bagaimanapun, kemenangan tunggal
selepas empat perlawanan itu menyaksikan NS Chempaka masih kekal di tangga
keempat Kumpulan D di belakang Johor FC yang masih bertahan di tangga ketiga.
Sementara itu, persaingan sengit
terus disaksikan dalam Kumpulan A apabila kedudukan berubah sama sekali
semalam.
Tempat pertama kini menjadi milik
Sabah yang menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan sementara
skuad Tok Gajah tersingkir ke tangga kedua, hanya dipisahkan oleh perbezaan
jumlah gol setelah masing-masing mengumpul tujuh mata.
Gol-gol Sabah disumbangkan Jelius
Ating (15), Josiah Seton (22) dan Zainizam Marjan (55) sementara Pahang
membalas menerusi Norhafiza Bashri (80) dan Melnikov Viatcheslav (89).
Dalam satu lagi perlawanan
Kumpulan A, Sarawak menang 2-1 ke atas Telekom Melaka di Stadium Hang Tuah
untuk melonjak ke tangga ketiga dengan enam mata, satu mata di atas Telekom di
tangga terbawah.
Romeo Kambou menjaringkan gol
pertama Sarawak pada minit ke-34 sebelum Gilbert Cassidy menambah gol menerusi
penalti minit ke-47 setelah Khairul Zainal Baharom menjatuhkan Rizal Awang Jad.
Telekom membalas menerusi Isaac Kuffour (49).
Juara 28 kali, Selangor pula
bangkit untuk mencipta keputusan seri 1-1 dengan Kelantan di Stadium Shah Alam
pada perlawanan Kumpulan C.
Amri Yahyah menjadi penyelamat menerusi
gol minit ke-68 setelah Kelantan mendahului hasil melalui sepakan penalti
Woorawoot Srimaka pada minit ke-57.
Keputusan itu memberikan
kesempatan kepada Public Bank untuk merampas tangga teratas Kumpulan A daripada
Selangor setelah menumpaskan Perlis 3-0 di Stadium Selayang.
Ivan Ziga mencipta hatrik untuk
membantu Public Bank meraih mata penuh menerusi jaringan pada minit ke-44, 86
dan 87.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cG4PBoOg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan