ARKIB : 20/08/2001
SAINGAN bola sepak Perdana Satu
belum berakhir tetapi Pulau Pinang dengan megah menjulang kejuaraan liga untuk
merangkul hadiah wang tunai RM150,000 serta imbuhan sebanyak RM40,000 kerana menjuarai
pusingan kedua bagi musim 2001.
Kejayaan itu menjadi ikutan
sebuah pasukan bertaraf kelab, Johor FC yang menjuarai liga Perdana Dua yang
berakhir kelmarin.
Selepas kegagalan pasukan
utama, Johor yang terpinggir di tangga tercorot dalam Perdana Satu, Johor FC
seakan mahu menebus kehampaan `abang' dengan membolot hadiah RM100,000 selaku
juara Perdana Dua.
Saingan Perdana Dua berakhir
dengan rasmi kelmarin yang menyaksikan Sabah bergelar naib juara dengan hadiah
RM75,000.
Wakil Negeri Sembilan, NS
Chempaka juga boleh bermegah meskipun sekadar menduduki tangga ketiga untuk
memenangi hadiah RM50,000.
Untuk saingan Perdana Satu,
masih ada satu baki perlawanan untuk menentukan pemenang tempat ketiga iaitu di
antara Kelantan dan Selangor.
Baki perlawanan terakhir ini
juga akan dijadikan saingan terakhir kepada tiga pasukan iaitu Sarawak (24
mata), Kuala Lumpur (22) dan Melaka (21) untuk merebut tiket automatik ke
pertandingan Piala Malaysia.
Lapan pasukan yang layak secara
automatik ialah Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Perlis, Pahang,
Perak dan Negeri Sembilan.
Perlawanan terakhir musim ini
akan berlangsung Selasa ini.
Pulau Pinang menamatkan saingan
Perdana Satu musim ini dengan cemerlang apabila berjaya mengumpul 47 mata, yang
membolehkan mereka lebih awal menjulang kejuaraan liga. Terengganu menduduki
tangga kedua dengan 41 mata.
Pasukan Pulau Mutiara itu
mencatatkan 14 kemenangan daripada 21 perlawanan musim ini selain mencatat lima
keputusan seri dan tewas dua kali.
Kejayaan Pulau Pinang ini
diraih buat kali kedua selepas 1989, yang ketika itu dipimpin oleh Moey Yoke
Ham. Pasukan musim ini, yang dibimbing oleh Irfan Bakti berjaya menghasilkan 44
gol dan hanya melepaskan 14 gol.
Liga Perdana Dua menutup tirai
lebih awal selepas setiap pasukan menamatkan 22 perlawanan.
Dalam perlawanan terakhir
kejuaraan liga ditentukan selepas Sabah seri tanpa jaringan menentang Kedah,
meskipun Johor FC tidak beraksi.
Sabah perlu menang dengan tiga
gol tanpa balas untuk memintas kedudukan Johor FC.
Kedudukan mata terakhir
menyaksikan Johor FC mengumpul 47 mata daripada 14 kemenangan, lima seri dan
kalah tiga kali.
Johor FC, Sabah dan NS Chempaka
akan beraksi dalam Perdana Satu musim depan selain layak secara automatik ke
Piala Malaysia.
Lima pasukan lain dalam Perdana
Dua iaitu Brunei, TNB Kelantan, Telekom Melaka, JKR Kelantan dan KL Malay Mail
pula akan bermain dalam play-off bersama-sama tiga pasukan tercorot Perdana
Satu sebelum mara ke Piala Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bjUgx3Sk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan