ARKIB : 30/08/2001
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
JUARA Perdana Satu, Pulau
Pinang berdepan laluan mudah dalam saingan peringkat awal bola sepak Piala
Malaysia apabila mendapat lawan kurang mantap selepas berlangsung majlis
undian, semalam.
Pasukan Harimau Kumbang diundi
dalam kumpulan D bersama-sama pasukan di tangga kelima Perdana Satu, Perlis dan
dua pasukan Perdana Dua, Sabah dan JKR Kedah dalam majlis undian pertandingan
edisi ke-35 itu yang dilangsungkan di Hotel Mutiara, Kuala Lumpur.
Jika dilihat dari undian itu,
kekuatan Pulau Pinang untuk muncul sebagai juara kumpulan sukar digugat dan
saingan tiga pencabarnya ialah untuk mengintai tempat selaku naib juara.
Perlawanan pertama Pulau Pinang
ialah menentang JKR Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar.
Sementara itu, juara 28 kali,
Selangor bakal berdepan laluan getir apabila diundi dalam kumpulan A
bersama-sama juara Perdana Satu, Johor FC, naib juara tahun lepas, Negeri
Sembilan dan Kuala Lumpur.
Saingan sengit juga bakal
disaksikan dalam kumpulan C yang diisi oleh juara tahun lepas, Perak, TNB
Kelantan, JKR Kelantan dan naib juara Perdana Satu, Terengganu.
Kumpulan B pula boleh dianggap
sebagai `kumpulan maut' yang diisi oleh Sarawak, Kelantan, Pahang dan NS
Chempaka yang semuanya boleh dianggap sama kuat.
Piala Malaysia, pertandingan
yang bermula sejak 1921 akan membuat sepak mula pada 18 September iaitu sehari
selepas majlis penutup Sukan SEA XXI.
Sebanyak 16 pasukan bertanding
dengan lima daripadanya - TNB Kelantan, JKR Kelantan, JKR Kedah dan Kuala
Lumpur mara dari pusingan play off yang tamat kelmarin.
Baki 12 pasukan layak secara
automatik iaitu Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Perlis, Pahang,
Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak dari Perdana Satu serta tiga pasukan dari Perdana
Dua iaitu juara, Johor FC, Sabah dan NS Chempaka.
Pasukan dibahagikan kepada
empat kumpulan dan akan bermain dalam dua pusingan. Pusingan kedua dijadualkan
bermula pada 2 Oktober dan dua pasukan dari setiap kumpulan layak ke suku
akhir.
Perlawanan akhir akan
berlangsung pada 3 November.
Piala Malaysia kali ini turut
mencatat sejarah tersendiri apabila lima pasukan kelab iaitu Johor FC, NS
Chempaka, TNB Kelantan, JKR Kelantan dan JKR Kedah layak bertanding.
SUMBE-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bjskvr7u
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan