ARKIB : 13/07/2005
Oleh: WAN NAJIB WAN DAUD
PULAU PINANG - Setelah berjaya
mengekalkan kedudukan untuk bersaing dalam Liga Super musim depan, skuad
Harimau Kumbang kini membuka pintu kepada mana-mana pemain yang ingin menabur
bakti untuk pasukan itu dalam menghadapi persaingan Piala Malaysia awal Ogos
ini.
Pengurus pasukan, Datuk Mohd.
Zain Omar berkata, pelawaan terbuka kepada mana-mana pemain yang menepati
ciri-ciri yang diperlukan oleh pasukan ini bagi menghadapi saingan piala
berprestij itu.
``Memang kami memerlukan pemain
baru untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi Piala Malaysia kerana ketika
ini Pulau Pinang menghadapi banyak masalah terutamanya pemain-pemain yang
menghadapi kecederaan yang berpanjangan dan masalah itu jugalah yang
menyebabkan prestasi pasukan terumbang-ambing di pusingan ketiga Liga Super,''
katanya yang ditemui selepas perlawanan terakhir Liga Super di Stadium
Bandaraya, kelmarin.
Katanya, Pulau Pinang
memerlukan pemain baru selepas persembahan yang mengecewakan dalam Liga Super
sehingga nyaris terhumban ke Liga Perdana musim depan.
Mengulas lanjut, Mohd. Zain
berkata, beliau akan menyerahkan tanggungjawab untuk mencari pemain baru kepada
Norizan Bakar sebelum saingan Piala Malaysia bermula Ogos ini dan masa rehat
minggu ini akan digunakan sepenuhnya untuk para pemain memulihkan kecederaan
dan meningkatkan prestasi mereka.
Ditanya sama ada skuad Harimau
Kumbang benar-benar memerlukan `angin baru' untuk menghadapi saingan Piala
Malaysia, beliau berkata, berdasarkan prestasi semasa pasukannya memang
memerlukan suntikan pemain baru cuma ia perlu diteliti posisi mana yang perlu
diperkuatkan.
Katanya, saingan Piala Malaysia
berada dalam kelas tersendiri dan ia berbeza dengan saingan Liga Super atau
Piala FA.
Tambah Mohd. Zain, semua
pasukan yang layak ke Piala Malaysia mempunyai peluang yang sama rata.
``Kita berusaha untuk
menyediakan segala keperluan mereka dan kini tiba masanya untuk mereka memberi
balik apa yang telah diberi terutamanya kepada para penyokong yang setia
memberi sokongan kepada pasukan Pulau Pinang,'' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iikztLNd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan