Khamis, 1 Jun 2017

Kamarulzaman perkuat `Harimau Kumbang'



ARKIB : 21/07/2005

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM

PULAU PINANG - Skuad Pulau Mutiara mendapat khidmat penjaga gol Sarawak, Kamarulzaman Hassan untuk mengukuhkan benteng pasukan itu bagi mengharungi saingan Piala Malaysia yang bermula 6 Ogos depan.

Penyertaan bekas penjaga gawang Pulau Pinang itu diibaratkan bagai sireh pulang ke gagang apabila sedia menabur bakti bagi membantu pasukan lamanya bersaing dalam Kumpulan B bersama Negeri Sembilan, Telekom Melaka dan Kuala Lumpur.

Meskipun, kudrat anak kelahiran Jasin, Melaka itu turut ditagih oleh Perak, namun, anak muda berusia 26 tahun itu lebih `senang' untuk bersama dengan rakan-rakan lamanya di Pulau Mutiara. Bekas penjaga gol kebangsaan yang turun menjalani latihan di Padang Universiti Sains Malaysia (USM) di Minden, petang kelmarin tampak gembira dan tidak sabar-sabar untuk membantu skuad Harimau Kumbang bersaing merebut piala berprestij itu.

``Saya menjanjikan aksi terbaik bagi membantu Pulau Pinang untuk pergi jauh (merebut Piala Malaysia). Namun tempat saya dalam pasukan bukan mudah, malah perlu bersaing dengan penjaga gol sedia ada,'' katanya ketika ditemui, kelmarin.

Pulau Pinang kini menggunakan khidmat dua penjaga gol, Mohd Fazrul Rodzi dan Sharifuddin Shahrill berikutan kecederaan berpanjangan Azuan Othman hampir tiga bulan lalu.

Kelibat Kamarulzaman bakal disaksikan oleh peminat skuad Pulau Mutiara pada perlawanan pertama menentang Telekom Melaka di Stadium Bandaraya.

Sementara itu, menurut Jurulatih Penjaga Gol, Noor Mohd. Sultan, penilaian tahap kecergasan dan persembahan Kamarulzaman perlu dilakukan bagi memastikan tempatnya dalam kesebelasan utama.

Katanya, penjaga gol muda itu mempunyai kelebihan menangkap bola tinggi di samping kemahiran mengesan pergerakan pasukan lawan.

``Selain itu, Kamarulzaman mempunyai kelebihan daripada aspek fizikal yang tinggi dan tegap memudahkannya untuk menyaingi pemain lawan,'' katanya.

Dalam pada itu, Kamarulzaman yang ditanya kemungkinan akan kembali menyarung jersi skuad Pulau Mutiara musim depan berkata; ``Saya masih mempunyai kontrak bersama Sarawak sehingga akhir 2006. Selepas itu, saya belum memikirkan sama ada untuk terus bersama Sarawak atau sebaliknya.''

Kamarulzaman yang menganggotai skuad negara pada tahun 2000 dan 2001 menyertai APulau Pinang selama tiga tahun bermula 2000 sebelum berubah angin ke Bumi Kenyalang pada musim 2004.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ik0uYOmG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan