DI atas kertas, laluan Pulau
Pinang pada pertemuan menentang Kedah dalam saingan bola sepak Liga Super memang
sukar, lapor NAZATUL SHIMA RAZALI.
Begitupun, skuad bimbingan
Mohamad Bakar itu belum mahu menyerah dan mereka tetap menyimpan hasrat untuk
mencuri mata.
Malam ini, skuad Harimau
Kumbang akan menjadi tuan rumah kepada Kedah pada perlawanan yang akan berlangsung
di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Mohammad berkata: "Kita
sedar kekuatan mereka (Kedah), namun kami sudah bersedia memberi saingan. Kalau
boleh satu mata pun jadilah."
Tambahnya, status pemain tengah
mereka, M. Prakash masih belum diketahui kerana masih bergelut dengan
kecederaan ketika perlawanan menentang Sarawak minggu lalu.
"Saya belum pasti sama ada
dia (Prakash) dapat beraksi atau sebaliknya dan begitu juga dengan Ahmad
Norafandy yang turut cedera.
"Begitupun, keadaan itu
tidak akan melemahkan semangat pemain lain dan kami akan tampil dengan semangat
jitu untuk memberi saingan kepada pasukan lawan."
Mengimbas prestasi Pulau Pinang
setakat ini, rentak mereka memang berada pada tahap yang membimbangkan.
Mereka tiada pilihan lain
kecuali bangkit bagi mengubah kedudukan dalam liga.
Selepas mengharungi 10
perlawanan, mereka sekadar mencatat satu kemenangan dan seri tiga kali.
Jentera serangan mereka juga
kurang menyerlah kerana setakat ini, mereka baru menghasilkan enam gol.
Barisan pertahanan mungkin
boleh diberi pujian kerana setakat ini telah melepaskan 16 gol.
Mereka masih dianggap antara
yang terbaik berbanding pasukan lain, tetapi jentera serangan perlu diperkemaskan
lagi jika mahu melarikan diri daripada zon penyingkiran.
Sebaik pusingan kedua kelak
bermula, mereka perlu tampil lebih hebat dan yang pasti, jentera penyudah perlu
diperkemaskan.
Pulau Pinang kini menghuni
tangga ke-12 dalam carta Liga Super dengan enam mata.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_13.htm#ixzz4wNV4l96w
Hakcipta terpelihara