Isnin, 23 Oktober 2017

Pulau Pinang enggan mengalah



 DI atas kertas, laluan Pulau Pinang pada pertemuan menentang Kedah dalam saingan bola sepak Liga Super memang sukar, lapor NAZATUL SHIMA RAZALI.

Begitupun, skuad bimbingan Mohamad Bakar itu belum mahu menyerah dan mereka tetap menyimpan hasrat untuk mencuri mata.

Malam ini, skuad Harimau Kumbang akan menjadi tuan rumah kepada Kedah pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Mohammad berkata: "Kita sedar kekuatan mereka (Kedah), namun kami sudah bersedia memberi saingan. Kalau boleh satu mata pun jadilah."

Tambahnya, status pemain tengah mereka, M. Prakash masih belum diketahui kerana masih bergelut dengan kecederaan ketika perlawanan menentang Sarawak minggu lalu.

"Saya belum pasti sama ada dia (Prakash) dapat beraksi atau sebaliknya dan begitu juga dengan Ahmad Norafandy yang turut cedera.

"Begitupun, keadaan itu tidak akan melemahkan semangat pemain lain dan kami akan tampil dengan semangat jitu untuk memberi saingan kepada pasukan lawan."

Mengimbas prestasi Pulau Pinang setakat ini, rentak mereka memang berada pada tahap yang membimbangkan.

Mereka tiada pilihan lain kecuali bangkit bagi mengubah kedudukan dalam liga.

Selepas mengharungi 10 perlawanan, mereka sekadar mencatat satu kemenangan dan seri tiga kali.

Jentera serangan mereka juga kurang menyerlah kerana setakat ini, mereka baru menghasilkan enam gol.

Barisan pertahanan mungkin boleh diberi pujian kerana setakat ini telah melepaskan 16 gol.

Mereka masih dianggap antara yang terbaik berbanding pasukan lain, tetapi jentera serangan perlu diperkemaskan lagi jika mahu melarikan diri daripada zon penyingkiran.

Sebaik pusingan kedua kelak bermula, mereka perlu tampil lebih hebat dan yang pasti, jentera penyudah perlu diperkemaskan.

Pulau Pinang kini menghuni tangga ke-12 dalam carta Liga Super dengan enam mata.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_13.htm#ixzz4wNV4l96w
Hakcipta terpelihara

Sabtu, 23 September 2017

Pulau Pinang menang sulung



ARKIB : 14/04/2007

KUALA LUMPUR – Pulau Pinang mencatat kemenangan sulung dalam saingan bola sepak Kumpulan B Piala Malaysia dengan menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Pulau Pinang mengakhiri kemarau kemenangan itu hasil jaringan Zafran Olibullah pada minit ke-27 untuk melonjak ke tangga kelima dari tempat tercorot kumpulan.

Pulau Pinang beralih kedudukan dengan ATM menerusi perbezaan gol biarpun kedua-dua pasukan terikat empat mata.

Sementara itu, perlawanan Kumpulan C antara Polis dengan Pahang yang mulanya dijadualkan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini diubah ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sepak mulanya kekal 8.45 malam. Perlawanan itu juga bertujuan menguji keadaan padang Stadium Nasional yang bakal menjadi gelanggang pusingan akhir Piala Asia, Julai ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tWRxRWUK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 21 September 2017

Tugas berat Pulau Pinang

ARKIB : 03/03/2007

PULAU PINANG – Harimau Kumbang bakal berdepan tugas getir esok ekoran ketiadaan ramai pemain tonggak menjelang perlawanan menentang Negeri Sembilan di Stadium Paroi dalam aksi Piala Malaysia.

Ketua jurulatih, Josef Herel berkata, dengan ketiadaan pemain utama dalam aksi keempat dalam Piala Malaysia diakui memberi sedikit tekanan kepada skuad bimbingannya untuk mencari kemenangan sulung.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu merupakan perkara biasa dalam bola sepak dan beliau perlu menggunakan segala kekuatan yang ada untuk meneruskan saingan.

“Walaupun terpaksa merehatkan beberapa pemain utama selain ada yang digantung kerana kad kuning namun itu bukan penyebab untuk kami mengaku kalah,” katanya.

Herel memberitahu, percaturan malam ini mungkin sedikit berubah kerana ketiadaan penjaga gol utama, S. Shankar serta beberapa pemain seperti Nordin Khamis, V. Jeganatahan dan Durahim Jamaludin.

“Saya menasihatkan pemain yang bakal diturunkan nanti agar bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan dan berharap dapat mengulangi prestasi mantap ketika menundukkan Perlis di Kangar dua hari lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Herel, pertemuan dengan Perlis yang berkesudahan Pulau Pinang menang 1-0 dicapai kerana anak-anak buahnya bermain mengikut percaturan yang telah ditetapkan.

“Mereka bermain dengan baik. Kemenangan itu bukan disebabkan nasib semata-mata dan saya yakin ia boleh diulangi menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan esok (malam ini),” katanya lagi.

Jelasnya, anak didiknya kini berada dalam keadaan baik, ditambah pula kemenangan ke atas Perlis dalam aksi Liga Super Rabu lalu sedikit sebanyak memberi tonik serta menguatkan azam mereka untuk mendapatkan keputusan lebih baik.

Katanya, walaupun mendapat cemuhan penyokong kerana mempamerkan aksi yang dianggap tidak memuaskan, anak didiknya dilihat terus cekal untuk memberikan saingan.

“Saya puji persembahan mereka baru-baru ini namun tetap berharap agar mereka tidak mudah lupa diri kerana setiap lawan adalah berlainan kemampuan dan kekuatannya,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah satu masalah besar kerana beliau tetap yakin barisan pemain simpanan yang ada juga mampu merencanakan sesuatu untuk membantu pasukan mencatat kemenangan seterusnya.

Dalam pada itu, penyerang Pulau Pinang yang menjaringkan gol tunggal dalam pertemuan menentang Singa Utara Rabu lepas, Mohd. Farizal Rozali bersedia menggempur benteng Rusa malam ini.

Beliau yang semakin terdesak mencari lebih banyak gol untuk membantu pasukannya mengukuhkan kedudukan dalam liga berazam memperbaiki mutu persembahannya menjelang perlawanan itu nanti.

“Saya berpuas hati sekiranya dapat menghasilkan gol kerana itu menjadi tugas utama ketika turun beraksi. Saya harap esok (malam ini) tuah berpihak kepada saya untuk membuat lebih jaringan,” katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4tMM0iIaN
© Utusan Melayu (M) Bhd

P. Pinang buntu serangan tumpul



ARKIB : 19/02/2007
Oleh Wan Najib Wan Daud

PULAU PINANG – Jurulatih Pulau Pinang, Josef Herel mengakui barisan pemainnya yang menggalas cabaran dalam liga bola sepak musim ini tidak cukup mantap dan bagus untuk bersaing dengan pasukan handalan lain.

Menurut Herel, persembahan yang tidak konsisten dalam setiap aksi perlawanan cukup menggusarkan beliau apatah lagi jika bertemu dengan pasukan yang lebih setakuk dari apa yang ada dalam pasukannya.

Beliau mengakui masih tercari-cari rentak permainan terbaik pasukannya selepas beberapa perlawanan, namun ia bagaikan tidak kunjung tiba setiap kali pasukannya tewas dalam perlawanan sama ada Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Saya masih tercari-tercari rentak permainan terbaik setiap kali bermain tetapi tahap pasukan masih lagi ketinggalan walaupun bertemu dengan pasukan bertaraf kelab," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, jika diukur dengan persembahan pasukan lain, taraf permainan anak-anak didiknya tidak jauh berbeza, malah diyakini boleh pergi jauh jika semua pemain mempersembahkan prestasi terbaik mereka.

"Sebenarnya Pulau Pinang boleh menjadi pasukan yang disegani kerana kita memiliki pemain-pemain muda berbakat, malah rata-rata yang disenaraikan adalah yang terbaik dan berpengalaman dan bukan setahun jagung dalam bola sepak," ujarnya.

Herel yang tidak mahu menoleh ke belakang berkata, apa yang mahu dilakukannya sekarang adalah berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada serta mempertajamkan mana-mana bahagian dilihat tumpul.

Apa yang merungsingkan beliau ialah barisan penyerang masih gagal menggalas harapan dan cabaran untuk lebih berfungsi dan efektif setiap kali turun mempamerkan aksi.

Skuad Harimau Kumbang seakan-akan tiada jawapan terhadap barisan depannya yang kini dilihat semakin tumpul dan kaku di depan gawang gol.

Contoh terbaru ketika skuad didikan Herel itu bertemu dengan Terengganu dalam aksi Piala Malaysia apabila gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol lawan.

Dalam aksi kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin, pasukan tuan rumah berpesta gol apabila menewaskan Pulau Pinang 4-0 dalam saingan Kumpulan B.

Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-35 menerusi tandukan penyerang import dari Brazil, Sharlei Miranda yang berpunca dari hantaran silang Rosairil Asrul Mohd. Nor.

Gandingan import Brazil, Miranda dan Helton Soares sering mengucar-kacirkan benteng pelawat, namun gagal menewaskan penjaga gol, S Shankar buat kali kedua untuk menambah jaringan gol.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4tKQ4Gv7C
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ibarat lupa bawa kasut: Zainal Abidin



Khamis, 21 September 2017 | 11:16am

KETUA Jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan menyifatkan perlawanan menentang T-Team malam tadi sebagai 'hidup dan mati' pasukan. - Foto DANIAL SAAD
Ibarat lupa bawa kasut: Zainal Abidin

BATU KAWAN: Peluang Pulau Pinang untuk mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan terus tertutup apabila tewas 0-2 di laman sendiri, ketika menentang T-Team di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini, malam tadi.

Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan berkata, walaupun perlawanan itu disifatkan sebagai 'hidup dan mati' pasukan, namun anak didiknya gagal menguasai perlawanan selain mempersiakan semua peluang untuk menjaringkan gol.

"Ibarat pemain tidak membawa kasut untuk menjaringkan gol...amat mengecewakan sekali kerana perlawanan inilah yang paling banyak sekali kita cipta peluang sehingga peluang terbuka pun kita sia-siakannya.

"Kalau kualiti macam ini susah untuk bersaing di Liga Super," katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan itu, T-Team menjaringkan gol menerusi Muhammad Fauzi Abdul Kadar pada minit ke-28 dan Mohd Asrol Ibrahim pada minit ke-58.

Bagaimanapun, Zainal Abidin berkata, skuad Harimau Kumbang akan terus berusaha dan apa yang penting ketika ini adalah menjaga maruah pasukan itu.

"Kami akan terus berusaha dan inilah saat saya nak lihat pemain mana yang mempunyai mental yang kuat untuk bermain dalam pasukan Pulau Pinang," katanya.

Ditanya jika pasukan itu tidak berjaya mengekalkan kedudukan dalam Liga Super pada musim depan, bekas pengendali Pahang itu, berkata pemain harus menerima keputusan dan tindakan yang akan diambil pihak pengurusan.

Pulau Pinang, yang kini tercorot liga dengan 12 mata, akan menentang Perak pada 30 September ini dan Selangor (21 Oktober) – Bernama
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 21 September 2017 | 11:16am